ALOR GAJAH - Seorang pelajar rebah di tepi jalan raya selepas dikatakan pengsan ketika sedang berdiri berhampiran pintu bas sekolah terbabit di pekan Kuala Sungai Baru, dekat sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, Nuremi Syakila Hamadi, 15, dikatakan kepenatan selepas menyertai Larian 1Malaysia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kuala Permai menaiki bas sekolah.
Rakannya, Nur Nadhirah Mohd Ramli, 15, berkata, Nuremi itu yang berdiri di tangga bas secara tiba-tiba terlepas genggaman tangan pada tempat berpaut sebelum jatuh keluar dari bas terbabit.
“Dia jatuh terjelopok atas rumput di tepi jalan raya ketika bas masih bergerak perlahan kerana hendak menurunkan pelajar.
“Saya terkejut melihatnya jatuh, mujur dia jatuh di atas rumput dan kenderaan semuanya bergerak perlahan. Saya berlari ke arahnya dan melihat ada darah di kepala Nuremi,” katanya.
Saksi kejadian, Roslina Md Nor, 33, berkata, dia bersama suami dan kakaknya dari Kuala Linggi hendak ke rumah saudara di Taman Desa Bayu menyedari seorang pelajar terbaring atas rumput tepi jalan sebelum berhenti membantu.
“Pada mulanya saya sangka Nuremi terbabit dalam kemalangan kerana terdapat sebuah kereta yang remuk hadapan tidak jauh dari situ dan terus meminta suami berhentikan kereta untuk membantu pelajar itu yang tak sedarkan diri.
“Mujur ketika itu seorang kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Linggi menunggang motosikal di belakang kereta saya dan terus mengarahkan pelajar tersebut dihantar ke klinik terbabit dan saya terus mengangkatnya.
“Saya lihat kepala pelajar itu berdarah berkemungkinan terhantuk pada batu yang ada tepi jalan itu dan kemudian dia terus dirujuk ke Hospital Alor Gajah dengan menaiki ambulan klinik terbabit,” katanya.
Sumber: SinarHarian
No comments:
Post a Comment