loading...
Monday, June 27, 2011
Mohon Laluan Sempit Gopeng Dilebarkan
GOPENG - Selekoh tajam dan sempit di hadapan Pusat Giat Mara, di sini membimbangkan pengguna apatah lagi jalan berkenaan turut dilalui kenderaan berat yang keluar masuk dari Lebuhraya Utara Selatan.
Seorang pengguna, Ezad Anuar, 23, berkata, laluan yang sedia sesak itu bertambah kritikal berikutan selekoh berada berhampiran balai bomba dan lampu isyarat.
Menurutnya, kesesakan paling teruk berlaku pada waktu pagi kerana ramai pekerja menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja.
"Jumlah kenderaan yang semakin bertambah antara penyumbang kepada kesesakan laluan ini, apatah lagi pertukaran lorong daripada tiga menjadi satu di selekoh itu membuatkan segelintir pemandu tidak peka dengan keselamatan pengguna lain.
"Kebanyakannya pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan mereka secara mengejut sebaik tiba di laluan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.
Ezad berkata, pembangunan pesat di Gopeng dan kawasan berhampiran mengakibatkan bandar Gopeng menjadi laluan utama pengguna yang meneruskan destinasi sama ada ke Ipoh atau ke Kuala Lumpur.
Pihaknya mencadangkan agar laluan di selekoh berkenaan dilebarkan bagi mengelak sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku.
“Mungkin jalan di selekoh itu dapat dilebarkan supaya kenderaan yang datang dari arah Jeram tidak masuk ke laluan bertentangan.
“Jadi kita pohon Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji semula perkara ini memandangkan banyak insiden yang tidak diingini berlaku yang membahayakan pengguna lain,” katanya.
Sumber: SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment