loading...

Wednesday, June 29, 2011

Mangsa ambulan terbalik


SUNGAI LALANG – Mangsa ambulan terbalik, Zurinah Ibrahim, 48, kesal apabila tidak mendapat penjelasan berhubung insiden berkenaan dan dia kini menghadapi kecederaan patah tulang bahu kiri akibat kejadian 20 Jun lalu itu.

Menurutnya, dia yang menghidap penyakit kanser pundi kencing sedang dalam perjalanan dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bersama seorang wanita mengandung empat bulan, jururawat, pembantu perubatan dan pemandu yang berada dalam ambulan itu terlibat dalam kemalangan apabila dilanggar oleh sebuah kereta.

“Akibat pelanggaran itu, tulang bahu kiri saya patah dah dikatakan hanya mengambil masa enam minggu untuk sembuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Zurinah yang juga ibu tunggal sejak 11 tahun lalu berkata, dia dijangka menjalani pembedahan kanser pada 3 Julai depan dan masih trauma dengan kejadian kemalangan berkenaan.

“Disebabkan kecederaan ini, saya tidak boleh bekerja untuk mencari pendapatan dan hanya menggunakan bantuan kebajikan, namun tidak cukup memandangkan saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah berusia antara 11 hingga 16 tahun,” katanya.

Zurinah berkata, sekiranya ada pihak tertentu yang bersimpati atau ingin menghulurkan bantuan, boleh ke alamatnya di No 8 Lorong Jati 45B, Taman Bandar Baru Sungai Lalang atau terus dail 012-5664043.

Sementara itu, Pengarah HSAH, Dr Harif Fadzilah Che Hashim berkata, pihaknya mengemukakan laporan lengkap insiden berkenaan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

“Pihak HSAH juga akan menampung segala kos rawatan dan perbelanjaan hospital untuk Zurinah,” katanya.

Selain itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain turut prihatin melawat Zurinah dan berjanji akan memberi surat sokongan kepada Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my