Konstabel Parah Kena Rempuh
29 APRIL 2011: Konstabel Rohayu Samlan, 24, yang cedera selepas dilanggar oleh seorang suspek disyaki pengedar dadah di Taman Bukit Mas dan kini di rawat di Hospital Tuanku Jaafar, di Seremban. - Utusan/ABDUL RAZAK AID
SEREMBAN: Walaupun mengalami pendarahan dalaman pada paru-paru akibat dirempuh kereta pengedar dadah malam kelmarin, Konstabel Rohayu Samlan, 24, tetap bersemangat untuk meneruskan tugas yang diminatinya sejak kecil.
Malah, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang masih belum mendirikan rumah tangga itu tidak menyesal menyertai pasukan keselamatan terbabit tiga tahun lalu kerana menyedari sebarang kecelakaan yang menimpa adalah risiko yang perlu dihadapi. Ibunya, Sarimah Yaacob, 45, yang setia menemani anggota polis itu menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), berkata dia amat berbangga kerana kejadian menimpa Rohayu berlaku ketika anaknya menjalankan tugas murni mencegah pengedaran dadah yang merosakkan masyarakat.
“Dia memberitahu tidak sedikit pun menyesal, malah langsung tidak menjejaskan minatnya sebagai anggota polis,” katanya selepas menerima lawatan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh ke HTJS, semalam.
OSMAN melawat Rohayu yang dilanggar penjenayah di Taman Bukit Emas di Hospital Tuanku Ja’afar sambil diperhatikan ibunya, Sarimah Yaacob (tengah), semalam.
Sementara itu, Osman berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Rohayu bersama lima rakan setugas terserempak sebuah Proton Satria dalam keadaan mencurigakan di Taman Bukit Mas, di sini sebelum mengenal pasti pemandunya pengedar dadah yang kini dikehendaki polis kerana beberapa kesalahan lain.
Sebaik polis memperkenalkan diri, suspek yang enggan keluar daripada kereta tiba-tiba membuat pusingan dengan agresif menyebabkan Rohayu yang berada berhampiran dirempuh hingga tercampak beberapa meter sebelum sekali lagi dirempuh selepas terjatuh di belakang kereta itu hingga terperosok di bawah bonet.
Suspek dikenal pasti Tan Kok Fui, 44, yang melarikan diri daripada hukuman buang negeri di Kuantan, Pahang, kemudian melarikan diri manakala Rohayu mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dan perut selain luka serta lebam di beberapa bahagian badan dikejarkan ke HTJS.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis di talian 06-6033222 atau 06-7682389.
Anak bekas Ahli Dewan Negara maut
KERETA Mazda RX6 dipandu Nurul Huda terbabas merempuh penghadang jalan di Kilometer 25.4 Lebuh Raya Karak arah Bentong, pagi semalam.
KUALA LUMPUR: Anak perempuan bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Jamaluddin Ahmad, maut selepas kereta Mazda RX6 dipandunya terbabas sebelum merempuh penghadang jalan dan nyaris terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kilometer 25.4 Lebuh Raya Karak arah Bentong, pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu menyebabkan Nurul Huda Jamaluddin, 26, tersepit dalam kereta yang remuk teruk sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Rahim Abdullah, berkata mangsa beralamat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dikatakan dalam perjalanan dari arah ibu negara menghala Pantai Timur ketika kemalangan.
“Mangsa memandu berseorangan dan dipercayai hilang kawalan setiba di tempat kejadian menyebabkan kenderaan terbabas ke kanan laluan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.
“Keretanya kemudian berpusing ke arah bertentangan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri jalan. Akibatnya, kereta mangsa remuk teruk di bahagian depan dan nyaris terjunam ke dalam gaung,” katanya.
Kemalangan disedari seorang anggota polis peronda sebelum sekumpulan orang awam bergegas menyelamatkan mangsa yang masih bernyawa ketika itu, tetapi disahkan meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke hospital.
Difahamkan, bapa mangsa juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Sulit Pengerusi Tetap Wanita UMNO yang juga bekas menteri, Tan Sri Napsiah Omar.
Rahim berkata, Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan sebelum jenazahnya dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.
Tak Sempat Solat Jumaat
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba Masjid Tanah dibantu orang awam bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan kereta dalam kemalangan di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru dekat Masjid Tanah. Foto: Ariffin Salleh (29/04/2011)
MASJID TANAH: Hasrat seorang pegawai kanan kastam untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Linggi dekat sini, sebelum berpindah ke Kelana Jaya, Selangor, tidak tercapai apabila dia cedera parah dalam kemalangan di Kampung Permatang Darat, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Othman Kassim, 50-an, yang dalam perjalanan pulang ke pejabatnya di Stesen Kuala Linggi selepas mesyuarat di Tanjung Beruas, Tanjung Kling, melalui jalan Kuala Sungai Baru, dikatakan gagal memotong sebuah motosikal di satu selekoh tajam di kampung berkenaan.
Mangsa yang memandu kereta Honda Civic tiba-tiba hilang kawalan ketika cuba memintas sebuah motosikal dari arah sama sebelum bertembung dengan sebuah bas milik Maskas 3 Division, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kem Terendak, yang sedang di pandu uji dari arah Kuala Linggi.
Akibat perlanggaran itu, Othman yang juga Penolong Penguasa Kanan Kastam tersepit di tempat duduk dan cedera parah di kepala sebelum diberikan bantuan awal oleh orang ramai sementara menunggu bantuan kecemasan.
Rakannya, Pegawai Kastam Kanan, Shaharuddin Salim berkata, ketuanya itu yang bakal dinaikkan pangkat kepada Penguasa Kanan Kastam dan berpindah ke Kelana Jaya, Selangor, Mei depan, bercadang menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Kuala Linggi.
Katanya, dia difahamkan ketika kemalangan keadaan jalan agak licin selepas hujan yang mungkin menyebabkan kereta dipandu mangsa hilang kawalan sehingga terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan bas milik angkatan tentera.
“Kami yang bertugas di Stesen Kuala Linggi bercadang meraikan kenaikan pangkat dan perpindahannya ke Kelana Jaya, petang ini (semalam).
“Syukur dia selamat dalam kemalangan itu walaupun cedera parah,” katanya.
Sementara itu, enam anggota tentera yang berada di dalam bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut pemandu bas, Lans Koperal Abd Malik Jantan, 20-an, yang bertugas di Workshop Markas 3 Div, Kem Terendak, mereka yang sedang memandu uji bas dari arah Port Dickson terkejut melihat sebuah kereta dari arah bertentangan memotong sebuah motosikal.
“Saya terkejut dan membunyikan hon serta menekan brek kecemasan, namun gagal mengelak daripada dirempuh kereta itu,” katanya.
Menurutnya, bas yang dipandu itu baru saja dibaik pulih dan kini terpaksa kembali ke bengkel kerana rosak teruk akibat kemalangan itu.
myMetro
Hampir Pitam Lihat Tulang Kaki
DUNGUN: “Saya nak pitam sebaik melihat tulang kaki dan tangan kiri pemandu kereta itu terkeluar daripada dagingnya,” kata Mohd Rizal Yusof, 51, menceritakan detik cemas ketika cuba menyelamatkan seorang pemandu kereta Perodua Kancil yang parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Balai Besar-Alur Tempoyak, dekat sini, semalam.
Dia yang tiba sejurus selepas kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu, begitu takut untuk mengeluarkan mangsa sebelum menghubungi Hospital Dungun (HD) untuk mendapatkan bantuan.
“Saya tidak berani membantu kerana tidak pernah berhadapan situasi seperti itu dan bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadap mangsa yang parah,” katanya.
Katanya, beberapa minit selepas itu, kakitangan dan pegawai perubatan hospital tiba dan membuat balutan di kaki dan tangan mangsa yang parah sebelum dikejarkan ke hospital.
Mohd Rizal berkata, dia dan beberapa penduduk berhampiran cuba mengeluarkan semua mangsa dalam kedua-dua kenderaan terbabit sebelum semua mangsa dihantar ke HD.
Kemalangan dipercayai apabila Perodua Kancil yang dipandu mangsa, Mohd Fauzan Zulkifli, 18, bersama tiga rakannya, Afiq Izudin Banudin, 17, Saidatul Nurhidayah Azmi, 14, dan Mohd Shazmie Zahari, 18, memasuki laluan kanan jalan lalu bertembung kereta Proton Saga yang dinaiki sebuah keluarga.
Kemalangan itu menyebabkan Proton Saga dipandu Roslina Abd Rahman, 30-an berpusing ke kaki lima jalan sebelum dilanggar sebuah kereta BMW yang berada di belakang kereta Roslina.
Ketika kejadian, Roslina bersama ibunya, Wan Kamariah Wan Nik, 60, serta empat anaknya, Luqman Daniel Fakrurazi, 9, Luqman Hakim, 6, Ainun Mardiah, 5, dan Nur Syamimi Balqis, 3 bulan, yang berasal dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu, dalam perjalanan ke rumah abangnya tidak jauh dari tempat kejadian.
Dirempuh Lori Dari Belakang
ALOR GAJAH - Seorang peniaga buah durian nyaris maut apabila kereta yang dipandu dirempuh lori di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Simpang Ampat, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Yahya Abu Samah, 70-an, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Perling, Simpang Ampat, selepas selesai berniaga berhampi-ran pam minyak Petronas di sini, dirempuh kuat dari belakang hingga terseret kira-kira 50 meter.
Yahya berkata, dia yang memandu perlahan kerana membawa muatan durian, terkejut sebaik keretanya dirempuh hingga terseret melanggar tiang elektrik.
Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana lori terbabit boleh merempuhnya, sedangkan di kiri dan kanan jalan penuh dengan kereta.
“Mujur saya tidak apa-apa cuma mengalami cedera ringan tetapi saya kecewa kerana pemandu lori terbabit bertindak melarikan diri.
“Saya juga terpaksa keluar ikut pintu sebelah penumpang kerana gagal keluar menerusi pintu pemandu,” katanya.
Yahya berkata, bonet keretanya juga gagal dibuka dan tersekat tiba-tiba berikutan insiden itu.
“Nasib baik bonet kereta ‘jam’ tiba-tiba, kalau tidak tentu buah durian bertaburan dan mungkin keadaan jadi lebih teruk dan sesak,” katanya.
Menurutnya, seorang pemandu kereta di jalan bertentangan membantunya menghubungi pihak ambulan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Anak tiri mangsa, Mohd Farid Johar, 23, berkata, dia tahu berkenaan kejadian yang menimpa bapa tirinya itu setelah dihubungi ibunya dan juga seorang rakannya yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.
“Biasanya ayah pergi berniaga bersama mak, tetapi pagi itu dia berniaga seorang tanpa ditemani mak dan tak sangka dia akan ditimpa kemalangan.
“Akibat rempuhan itu, ayah ada mengadu sakit-sakit badan,” katanya.
Langgar Bas Askar
MASJID TANAH - Akibat mahu mengelak sebuah motosikal di hadapannya, seorang pemandu nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian kanan sebuah bas milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 12 tengahari di Jalan Kampung Permatang Darat, di sini apabila pemandu, Othman Kassim, 50-an, yang memandu kereta jenis Honda Civic tergamam selepas motosikal di hadapannya yang pada mulanya melalui kiri jalan, secara tiba-tiba masuk ke laluan tengah.
Panik dengan tindakan penunggang motosikal itu, mangsa dikatakan cuba mengelak, bagaimanapun ‘termakan jalan’ ke laluan bertentangan.
Kebetulan, sebuah bas milik ATM dari Kem Terendak, Tanjung Bidara, di sini datang arah bertentangan tidak sempat mengelak kenderaan mangsa, menyebabkan Honda Civic berkenaan merempuh bahagian kanan bas terbabit.
Tidak cukup dengan itu, kereta mangsa berpusing sebelum merempuh tembok sebuah rumah penduduk di situ.
Sepasukan anggota bomba tiba sejurus selepas kemalangan itu untuk mengeluarkan mangsa yang cedera parah selepas tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
“Masa itu, kami masing-masing sudah bersedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan kerana tak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.
Malek berkata, dia cuna memusing stereng ke sebelah kiri untuk mengelak kereta itu, sebelum terlihat kereta berkenaan berpusing semula ke arah Kuala Sungai Baru dan merempuh tembok rumah penduduk.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat beberapa minit selepas itu sebelum dibawa ke Hospital Melaka.
Manakala, kesemua penumpang bas dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
No comments:
Post a Comment