SUNGAI LIMAU – Sebuah kereta yang dipandu laju merempuh sebuah lori menghempap lori tersebut terbalik dan menghempap seorang penunggang motosikal dalam kemalangan kira-kira jam 2.15 petang, semalam.
Kemalangan yang berlaku itu turut melibatkan dua motosikal lain yang nyaris dihempap lori berkenaan.
Seorang mangsa, Dzulkarnain Ahmad Kamal, 19, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar adiknya ke �sekolah.
“Saya berhenti di persimpangan keluar ke jalan utama dan menunggu ��pengawal mengawal lalu lintas. Tiba-tiba sebuah kereta Waja yang dipandu laju dari arah Sungai Besar merempuh sebuah lori yang sedang melintas masuk ke persimpangan tempat saya menunggu.
“Rempuhan itu menyebabkan lori itu terbalik dan menimpa seorang penunggang motosikal yang berada di depan saya. Manakala, seorang lagi penunggang motosikal dan anaknya hampir masuk ke parit berhampiran di sebabkan insiden berkenaan,” katanya.
Walau bagaimanapun, pemandu lori dan Dzulkarnain yang terkena sedikit bahagian lori hanya mengalami cedera ringan.
“Penunggang motosikal seorang lelaki berusia sekitar 40-an yang ditimpa lori dibawa oleh orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu kereta Waja tidak dapat dikesan,” katanya.
Sementara itu, pengawal lalu lintas, Abdul Latif Osman, 53, berkata, sebuah lori dari arah Klang melintas masuk ke persimpangan sebelah kanan dan dirempuh kereta Waja yang dipandu laju dari arah Sungai Besar.
“Ketika itu saya sedang menuju ke lampu isyarat untuk menekan punat lampu untuk membolehkan kenderaan dari persimpangan melintas. Belum sempat saya menekan punat lampu, lori melintas dan dirempuh kereta Waja.
“Pemandu kereta Waja cuba memberhentikan kenderaan yang dipandunya berdasarkan kesan geseran tayar, namun gagal lalu merempuh lori itu,” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story9018136.asp
No comments:
Post a Comment