IPOH – Akibat melanggar lampu isyarat merah, seorang lelaki berusia 40 tahun maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabit dalam satu kemalangan berhampiran kilang Percetakan Nasional di Jalan Kuala Kangsar, tengah malam semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, M Mogan, maut serta-merta di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab berkata, siasatan awal mendapati mangsa maut akibat kecuaiannya melanggar lampu isyarat merah sebelum dilanggar sebuah kereta yang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya.
“Kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa keluar dari simpang Jalan Cetak menuju ke arah Chemor dan melanggar lampu isyarat merah.
“Sewaktu motosikal mangsa melintasi jalan, kereta yang datang dari arah bertentangan gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh motosikal mangsa menyebabkan mangsa terpelanting daripada motosikal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Rodzi berkata, mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis berhubung kemalangan itu.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/perak/content/story9014874.asp
No comments:
Post a Comment