loading...

Friday, April 29, 2011

Akhbar Kemalangan 28 April 2011

 2 Sahabat Maut Pulang Dari Kerja.



MUAR – Keseronokan dua rakan baik pulang daripada tempat kerja tidak berpanjangan apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Batu 12, Jalan Bakri-Yong Peng, di Air Hitam, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Azarul Akmal Md Ramlan, 21, dari Lorong Hj Selamat Batu 16, Air Hitam dan Mohamad Nazri Md Asan, 25, dari Parit Hj Anuar 2, Air Hitam menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi.

Dipercayai kereta yang dipandu oleh Mohamad Azarul Akmal cuba mengelak lopak air di selekoh jalan kerana hujan lebat semasa kejadian.

Bagaimanapun kenderaan mangsa dikatakan telah memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.

Difahamkan, kenderaan mangsa dari arah Muar menuju ke Air Hitam, manakala treler terbabit dari Yong Peng menghala ke Muar.

Akibat insiden itu, pemandu kenderaan berkenaan tersepit dan memaksa pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkannya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa mati serta-merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala juga beberapa anggota badan yang lain.



Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

“Pemandu treler berkenaan pula mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian.





Pekerja Ladang Bertembung Lori Sawit



MUAR: Dua sahabat maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung lori membawa muatan sawit dalam kejadian di Batu 14, Jalan Bakri-Yong Peng, dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pemandu Mitsubishi Pajero, Mohamad Azarul Akmal Md Ramlan, 21, dari Parit Jepun, Batu 16, dan rakannya, Mohd Nazri Md Asan, 25, dari Parit Haji Anuar, Batu 17, mati di tempat kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai pemandu dan pembantu jentera jengkaut itu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dari tempat kerja di ladang kelapa sawit di Parit Ulu dekat Bakri.

Rakan mangsa, Mohd Fahad Yagi, 26, tidak menyangka kedua-dua sahabatnya itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya kerana mereka baru saja keluar minum bersama pada malam sebelum kejadian.

“Ketika pertemuan, Mohamad Azarul tidak menunjukkan perubahan kecuali memberitahu hasratnya untuk berjalan bersama rakan lain sempena cuti Hari Pekerja pada Isnin depan,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini semalam.

Jenazah dua sahabatnya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Air Hitam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Muar, Inspektor Mohd Redzuan Mohd Lin, telefon 06-952 6222





Kemalangan Ragut Nyawa Pembantu Khas Zahid Hamidi 




Ahmad Shaari Abdul Rani, pembantu khas Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terbunuh apabila motosikal berkuasa besar yang ditungganginya terbabas di KM 83.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada 28 April 2011, 3.30 petang itu, Ahmad Shaari, 55, yang menunggang motosikal 1100 cc sedang dalam perjalanan ke Langkawi untuk menghadiri kursus di sana mulai esok.



Jurucakap polis berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Ahmad Shaari meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini.





Guru Patah Kaki, Penunggang Motosikal Hancur Kaki Dalam Dua Kemalangan

April 28, 2011; KUCHING: Seorang guru mengalami patah kaki dan mengalami kecederaan dalaman yang serius selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya semalam.

Mangsa yang berumur 26 tahun dipercayai berasal dari Kampung Panchor Baru dalam perjalanan menuju ke bandar apabila Perodua Myvi yang dipandunya dilanggar oleh sebuah lori seberat 10 tan. Lori berkenaan melanggar bahagian sisi kereta mangsa di Kilometer 24 Jalan Kuching- Serian pada jam 7.15 pagi.

Lori berkenaan dipercayai membuat pusingan membelok ke arah jalan bertentangan berdekatan SMK Tun Abdul Razak dan melanggar kereta guru berkenaan di bahagian belakang sebelah kiri.

Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sebuah ambulans dari Serian menghantar mangsa dari tempat kejadian ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal hancur kaki kanan akibat digilis sebuah lori treler di Tambirat, Asajaya semalam.

Mangsa berumur 28 tahun dari Siol Kandis itu dalam perjalanan balik ke Kuching bersama seorang saudara berumur 26 tahun pada jam 10 pagi apabila cuba mengelak melanggar sebuah lagi lori berdekatan dan hilang kawalan.

Kedua-dua mangsa tercampak dari kenderaan ke arah jalan bertentangan dan pada masa yang sama sebuah treler juga sedang melalui jalan yang sama.

Pembonceng sempat mengelak, tetapi kaki kiri penunggang digilis oleh kenderaan berat terbabit manakala kaki kanannya patah.

Ambulans Jabatan Pertahanan Awam dikejarkan ke tempat kejadian dan mangsa dihantar ke HUS untuk mendapatkan rawatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my