loading...

Tuesday, February 19, 2013

Van Sekolah terbalik



19 Februari 2013
PETALING JAYA - Dua murid berumur 10 dan 11 tahun cedera parah masing-masing di kepala dan kaki, apabila van persendirian yang membawa mereka ke sekolah terbalik selepas dirempuh kereta di Bandar Utama di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, van yang membawa 10 murid berumur antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Effingham, Bandar Utama.

Susulan kemalangan, sembilan murid termasuk dua yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang lagi dirawat di Hospital Sungai Buluh.

Saksi kejadian berkata, van yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an itu dirempuh dari belakang ketika melepasi persimpangan lampu isyarat menuruni jalan berbukit.

Ketika ditemui pemberita di PPUM, Penyelaras MIC Parlimen Subang A.Prakash Rao berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah sebelum bergegas ke PPUM.

"Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku, namun dua murid cedera parah dan yang lain cedera ringan...dua yang parah menjalani pembedahan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed yang mengesahkan kejadian itu, memberitahu Bernama pemandu kereta terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara.

Menceritakan detik cemas itu, B. Lavanya, 11, yang cedera di lutut, berkata dia berada di bahagian tengah tempat duduk penumpang apabila van milik jirannya itu dirempuh di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Seorang guru lelaki yang enggan dikenali menamakan sembilan murid yang dibawa ke PPUM itu sebagai P.Kavilashini, D.Sineka, R.Suriaraja, K.Susan, A. Danushwaran, K.Melvin, A.Varsha, S.Sathia dan Lavanya.

Nama murid yang dibawa ke Hospital Sungai Buluh bagaimanapun belum dapat dikenal pasti.- Bernama

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Duaparahvanbawamuridsekolahterbalikdirempuhkereta/Article/
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Van_Terbalik_13_Pelajar_Sekolah_Nyaris_Maut.html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my