loading...

Wednesday, March 21, 2012

Pemandu diserang penyakit sawan




KUALA KRAI - Seorang pemilik bengkel kereta di Kampung Bukit Sireh, dekat sini, kerugian kira-kira RM10,000 apabila sebuah kereta Honda Civic tiba-tiba terbabas dan merempuh bengkel itu, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan sebuah daripada dua kereta di bengkel itu rosak teruk manakala sebuah lagi rosak pada bahagian pintu belakang dan pecah cermin depan.

Insiden berlaku selepas pemandu Honda Civic terbabit dikatakan diserang penyakit sawan ketika memandu menyebabkan kenderaannya hilang kawalan dan merempuh bengkel berkenaan.

Pemandu berusia 26 tahun yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Bedal, dekat sini, bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemilik bengkel, Ruslan Mamat, 39, berkata, ketika kejadian, dia berada di bandar Kuala Krai untuk membeli alat ganti kereta sebelum dihubungi seorang rakan memaklumkan insiden tersebut.

“Kereta Mitsubishi yang rosak teruk itu sudah ada pembeli dan hanya menunggu enjin untuk dipasang manakala Nissan Bluebird pula dihantar ke bengkel saya untuk tukar ‘speed gear’. Saya cadang nak pergi ambil enjin dan ‘speed gear’ baru petang ini tetapi nampaknya tak sempat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, kelmarin.

Ruslan berkata, kereta Mitsubishi yang rosak teruk itu dianggarkan bernilai RM6,500 berdasarkan persetujuan dengan pembeli sebelum ini manakala anggaran awal kerosakan pada Nissan Bluebird pula kira-kira RM600.

“Buat masa ini, saya hanya tunggu keluarga pemandu terbabit datang berbincang mengenai ganti rugi kerana insiden ini turut menyebabkan kereta orang lain yang saya sedang baiki rosak,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, pemandu terbabit ditemui menggelupur dalam kenderaannya sejurus kejadian berlaku sebelum dia dikatakan bertindak menghidupkan enjin apabila sedar.

Cubaan pemandu terbabit yang dipercayai tidak sedar dengan kejadian itu, bagaimanapun gagal apabila seorang penduduk sempat merampas kunci kereta.

Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian itu semalam mendapati keadaan di bengkel kereta itu masih sama dan ketiga-tiga kenderaan terlibat masih tidak ‘diusik’.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/sawan-ketika-memandu-1.33917

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my