Inalillahi wainailaihi rojiun
KUANTAN - Seorang anggota polis dari Balai Polis Raub maut sementara anak lelakinya cedera selepas dirempuh sebuah motosikal setelah motosikal yang dinaiki mereka terjatuh di Kilometer 356 Jalan Raub - Bentong berhampiran simpang masuk ke Taman RaubJaya 5, Raub, petang kelmarin.
Dalam nahas kira-kira jam 7.45 petang itu, mangsa, Zahari Che Min, 45, yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Mohd. Syazmi, 11, hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama anaknya itu dalam perjalanan dari arah bandar Raub menuju ke Bentong.
Menurutnya, ketika sampai ke tempat kejadian, mangsa dipercayai membelok masuk ke simpang sebelah kanan bagaimanapun motosikalnya hilang kawalan lalu terjatuh.
‘’Pada masa yang sama, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 28 tahun yang datang dari arah Bentong gagal mengelak mangsa yang berada di atas laluan lalu merempuhnya. ’Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Wan Mohd Samsudin berkata, anak lelaki mangsa hanya mengalami luka kecil di muka dan tangan sementara penunggang motosikal yang merempuhnya juga cedera ringan.
‘’Mayat mangsa di hantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan disahkan meninggal akibat kecederaan parah di kepala. Mayat mangsa kemudian dituntut keluarga dan dibawa pulang ke kampung halaman di Tumpat, Kelantan untuk dikebumikan,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/anggota-polis-maut-dirempuh-motosikal-1.34073
No comments:
Post a Comment