loading...

Sunday, February 19, 2012

Bas Rempuh 4 Motosikal



KUALA KANGSAR – Kecuaian seorang pemandu bas hampir meragut nyawa empat penunggang motosikal dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Kangsar-Taiping, berhampiran kawasan Taman Indah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Abdul Gaffar Mohamad berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.40 malam dan empat motosikal terbabit berhenti di situ kerana lampu isyarat merah.

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian juga mendapati bas terbabit tidak membawa penumpang atau sebarang muatan pada masa kejadian.

“Bas itu dipercayai dipandu dengan laju dan gagal dikawal oleh pemandu terbabit ketika sampai di tempat kejadian lalu merempuh keempat-empat motosikal berkenaan.

“Semua kenderaan terbabit datang dari arah sama, iaitu dari arah Kuala Kangsar menuju ke arah Taiping, dan empat motosikal berkenaan sedang menunggu lampu isyarat merah pada ketika itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Gaffar berkata, rempuhan berkenaan telah menyebabkan seorang penunggang motosikal berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah, sementara tiga yang lain cedera ringan.

Katanya, semua penunggang motosikal terbabit telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan kita masih mengumpul maklumat berkaitan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dalam keadaan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa kepada pengguna jalan lain,” katanya.

Tambah Abdul Gaffar, pemandu bas terbabit sudah memberi kerjasama serta membuat laporan polis untuk membantu siasatan dan sehingga kini tiada penahanan dibuat ke atasnya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/rempuh-empat-motosikal-1.25087

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my