loading...

Thursday, April 7, 2011

Terpelanting 12 meter

 Al-Fatihah...

ALOR SETAR - Seorang pembonceng motosikal maut dalam kemalangan jalan raya setelah motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di jalan Kancut sekitar jam 2.15 petang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang mangsa dan kereta yang melanggarnya menuju ke arah sama.

Namun katanya, apabila sampai di satu simpang ketika pemandu kereta ingin membelok masuk ke ke Taman Tengku Habsah, secara tiba-tiba pemandu itu merempuh motosikal berkenaan.

“Mangsa yang dikenali sebagai Alif Shalihin Sulaiman, 18, dari Taman Aman Anak Bukit maut di tempat kejadian, dia bagaimanapun dikatakan tidak sempat mengelak dari dirempuh kereta berkenaan.

“Akibat daripada rempuhan kuat, mangsa kemudiannya terpelanting sejauh 12 meter ke atas jalan, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta sudah tampil membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, S Suja, 36, berkata, sewaktu kemalangan itu berlaku dia dalam perjalanan ke hospital dengan membonceng motosikal dari arah bertentangan.

“Dari jauh saya melihat mangsa masih lagi bergerak dan menggelupur, namun apabila saya turun dari motosikal seterusnya menyeberangi jalan untuk ke tempat kemalangan, mangsa pengsan serta meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa yang juga dipercayai kakitangan penjara terkejut dengan kejadian menimpa anak lelakinya itu.

Sepasang Kekasih Rentung


Al-Fatihah,,,

JOHOR BAHRU: Impian sepasang kekasih yang gigih bekerja demi mengumpul wang untuk melangsungkan perkahwinan dijadualkan akhir tahun ini, tidak kesampaian apabila rentung bersama dalam kereta dinaiki yang terbakar sejurus dirempuh lori dalam kemalangan di Lebuhraya Kempas dekat sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian jam 10.15 malam di Kilometer 2.7 lebuh raya itu dekat Kampung Kempas Baru, Norhisham Wahab, 34, dan Rafidah Hairodin, 27, yang sudah bertunang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewa masing-masing, selepas keluar makan malam bersama.
Nasib malang menimpa pasangan yang berasal dari FELDA Air Tawar 4 dan 5 dekat Kota Tinggi itu, apabila bahagian belakang kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kargo kosong yang melalui laluan sama.

Akibat perlanggaran itu, kereta pasangan berkenaan diseret sejauh kira-kira 50 meter sebelum terbakar dengan kedua-dua mangsa terperangkap dalam remukan kenderaan terbabit.

Pekerja pejabat guaman, Mohd Amir Rashid, 38, berkata beliau dan dua rakannya yang sedang bermain badminton dalam dewan bersebelahan tempat kejadian, bergegas meninjau kemalangan terbabit sejurus terdengar bunyi dentuman.

“Ketika itu, kebakaran baru bermula di bahagian kepala lori dan belakang kereta Kancil terbabit. Ketika menghampiri kenderaan itu, saya dapati pasangan terbabit sudah terkulai di dalamnya tetapi usaha membuka pintu kereta bagi mengeluarkan mereka tidak berhasil kerana remukan kereta itu serta bahang panas akibat kebakaran.
“Ketika itu juga, seorang pemandu teksi berhenti menghulurkan bantuan alat pemadam kebakaran yang kecil tetapi tidak berupaya memadam api. Dalam kekalutan itu, secara tiba-tiba api menyambar keseluruhan kereta bersama pasangan berkenaan yang masih berada di dalamnya.

“Saya dan rakan terpaksa berundur menyelamatkan diri bimbang disambar api. Ketika itu, saya dan rakan hanya mampu melihat terkejut serta menahan sebak melihat pasangan terbabit dimamah api yang menjulang dan rasa terkilan kami tidak mampu berbuat apa-apa bagi membantu mereka,” katanya dengan rasa sedih.

Mohd Amir berkata, selepas kira-kira 10 minit kenderaan itu terbakar, secara tiba-tiba lori yang pada asalnya melekat dengan kereta terbabit, mengundur ke belakang menuruni kawasan berbukit di situ.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan sudah menghilangkan diri daripada tempat kejadian.

Ibu Norhisham, Fatimah Kamil, 59, berkata beliau menerima panggilan polis berhubung kejadian malang yang menimpa anak ketiganya daripada empat beradik itu jam 2 pagi semalam.

“Kali terakhir, saya bertemunya pada Ahad lalu apabila dia pulang ke kampung seperti kebiasaannya pada setiap hujung minggu. Saya tidak sangka itulah kali terakhir bertemu dengannya.

“Saya tahu dia sibuk melakukan pelbagai pekerjaan di sekitar Pasir Gudang kerana mengumpul wang untuk mengahwini tunangnya dikenali sebagai Fidah, akhir tahun ini, selepas menangguhnya sebelum ini kerana tidak cukup wang,” katanya yang mengesahkan kereta terbabit adalah milik Rafidah.

Ketua Zon Johor Bahru Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penguasa Bomba Raja Saiful Iswandy Raja Hassan, berkata 12 anggota dengan tiga kenderaan dihantar ke lokasi itu dalam masa enam minit, tetapi api sudah marak dan memusnahkan seluruh kereta berkenaan.

Sementara itu, pemandu lori terbabit dikatakan menyerah diri di Balai Polis Taman Unku Tun Aminah sejurus selepas kemalangan, selepas meninggalkan lokasi kejadian dan menghubungi majikannya.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana membabitkan kematian dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah di talian 07-5571952, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sumber: bharian.com



JOHOR BAHRU: “Kami lihat pasangan berkenaan terkulai dan tiba-tiba api menyambar keseluruhan kereta. Tiada apa kami dapat lakukan, hanya menahan sebak melihat mereka rentung tanpa dapat membantu,” kata Mohd Amir Rashid, 38, yang tidak dapat membantu Norhisham Wahab, 34, dan tunangnya, Rafidah Hairodin, 27, daripada rentung selepas Perodua Kancil dinaiki mereka terbakar akibat dirempuh lori di Kilometer 2.7, Lebuh raya Kempas, semalam.

Amir bertugas sebagai kerani di sebuah firma guaman di bandar raya ini yang ditemui di tempat lokasi kejadian berkata, dia dan dua rakan sedang bermain badminton di dewan berhampiran apabila terdengar bunyi dentuman kira-kira jam 10.15 malam.


“Kami bergegas ke tempat kemalangan dan mendapati kebakaran baru saja bermula di kepala lori dan belakang Kancil. Kami cuba membuka pintu kereta tetapi gagal kerana remuk selain api yang semakin marak.

“Ketika itu, seorang pemandu teksi muncul dan cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api bersaiz kecil tetapi gagal,” katanya.


Ketika masing-masing berusaha menyelamatkan pasangan berkenaan, api tiba-tiba menyambar keseluruhan Kancil menyebabkan mereka semua terpaksa berundur kerana bimbangkan keselamatan diri.


“Ia cukup memilukan kerana kami nampak dengan jelas pasangan berkenaan terbakar. Semua yang ada pilu kerana gagal menyelamatkan mereka,” katanya berlinangan air mata.

Selepas kira-kira 10 minit Kancil itu terbakar, secara tiba-tiba lori yang pada asalnya melekat pada kenderaan itu, mengundur.


“Saya dan rakan menghampiri lori itu tetapi pemandunya didapati sudah tiada. Kami cuba mencarinya namun gagal,” katanya.

Dalam kejadian itu, Kancil berkenaan dirempuh dari belakang oleh sebuah lori sebelum sekali lagi dirempuh lori kargo tanpa muatan yang berada di belakang lori pertama dan mengheret kereta berkenaan sejauh kira-kira 50 meter menyebabkan mangsa terperangkap dan gagal keluar apabila kebakaran berlaku. Sementara itu, ibu Norhisham, Fatimah Kamil, 59, yang ditemui di bilik mayat Hospital Kulaijaya, semalam berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu Ahad lalu.


“Saya tahu dia sibuk bekerja siang dan malam kerana tidak mahu majlis perkahwinannya yang dirancang akhir tahun ini tertangguh sekali lagi akibat masalah kewangan seperti yang berlaku sebelum ini.


“Tiada sebarang perubahan sikap ditunjukkan Norhisham ketika saya bertemunya Ahad lalu dan tidak sangka itu pertemuan terakhir kami,” katanya sebak.


Menurut Fatimah, anaknya bekerja sebagai pemandu lori di Pasir Gudang dan bertunang dengan Rafidah hujung tahun lalu.


Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulai sebelum dituntut keluarga masing-masing petang semalam untuk dikebumikan.

Sumber: myMetro

Wednesday, April 6, 2011

Pergi Balik Kerja Sumbang 40% Kemalangan Industri


SETIU - Kemalangan yang melibatkan perjalanan pergi dan pulang daripada tempat kerja menyumbang hampir 40 peratus kepada jumlah kemalangan industri di negara ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye berkata mengikut statistik yang dikeluarkan Perkeso, sebanyak 55,208 kes kemalangan dilapor berlaku sepanjang tahun 2009.

Menurutnya, daripada jumlah itu 20,814 merupakan kemalangan semasa perjalanan pergi dan pulang dari kerja.

"Manakala, lebih 50 peratus dari jumlah 20,814 melibatkan pekerja yang menggunakan motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja dan kediaman mereka," katanya selepas merasmikan 'Osh Seminar-Dirty, Dangerous And Difficult' di sini hari ini.

Pembonceng Maut Dilanggar Lori


PEKAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang dibonceng terjatuh ketika mahu masuk ke simpang menuju ke Kampung Pasir Panjang di Kilometer 2 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 malam itu, mangsa, Muhamad Arrafi Abdul Hakim, 18, maut selepas tercampak ke jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang datang dari arah Pekan menuju ke Nenasi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut serta merta di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Saifuddin Abdul Karim yang menunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian tulang belakang.

“Ketika kejadian, motosikal yang dipandu rakan mangsa cuba membelok ke arah kanan sebelum terjatuh dan mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang membawa muatan benih kelapa sawit.

“Pemandu lori berusia 42 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah pun membuat laporan polis berhubung kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Yahaya berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan seperti itu berulang.

“Kepekaan kita terhadap amalan berhemah serta keselamatan diri dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sekali gus mewujudkan persekitaran selamat bagi diri dan pengguna jalan raya lain.

“Saya berharap semua pengguna jalan raya lebih berhemah terutamanya penunggang motosikal yang harus mengambil langkah berhati-hati ketika berada di atas jalan raya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Maut Berhampiran di Terowong Menora


 Pemandu Maut Rempuh Treler

KUALA KANGSAR –Seorang pemandu lori maut dalam satu kemalangan membabitkan lori dan sebuah treler di kilometer 256.1 Lebuh raya Utara Selatan, berhampiran terowong Menora, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.35 malam itu. mangsa, Ong Kim Wooi, 46, mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, lori yang dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke utara hilang kawalan sebelum merepuh bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan tiang simen cerucuk.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang ketika itu dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, pemandu treler, seorang lelaki berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Gaffar berkata berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Taman Perling, Johor Bahru itu telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mereka yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


Melekat di Belakang Treler


KUALA KANGSAR : Seorang pemandu lori maut apabila lori dipandunya merempuh lalu ‘melekat’ di belakang sebuah treler membawa muatan tiang simen cerucuk dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 256.1, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran terowong Menora, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 malam, Ong Kim Wooi, 46, parah di seluruh anggota tubuhnya dan gagal dikeluarkan orang ramai berikutan tersepit dalam kenderaan terbabit.


Difahamkan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa lebih satu jam untuk memotong komponen kepala lori yang remuk bagi mengeluarkan mayat mangsa. Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa maut akibat cedera parah dalam kemalangan itu.

“Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 malam kelmarin, lori dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang berada di hadapan lorong sama.


“Pelanggaran kuat itu menyebabkan mangsa dari Taman Perling, Johor Bahru itu maut di tempat kejadian.


Bagaimanapun, katanya, pemandu treler iaitu seorang lelaki India berusia 47 tahun tidak cedera dan kemalangan itu tidak membabitkan mangsa lain.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.


Difahamkan, mayat mangsa dituntut waris kira-kira jam 6 petang semalam.

Sumber: mymetro





Teringat pula cerita hantu kereta walkswagon kuning di Terowong Menora, Kuala Kangsar, Perak yang tiada pemandu. Kisah ini memang terkenal kerana ianya selalu mengganggu pengguna lebuhraya utara-selatan yang melalui kawasan itu di tengah malam.

Monday, April 4, 2011

Proton Rempuh Kedai Makan


MENGLEMBU – Seorang tauke kedai makan tergamam apabila premisnya dirempuh sebuah kereta jenis Toyota di kawasan Perindustrian Menglembu di sini, pagi semalam.

Premis makanan yang terkenal dalam kalangan pekerja di kawasan perindustrian itu terletak berhampiran kilang papan dan berhadapan dengan Pusat Jualan dan Servis Proton Edar.

Sinar Harian difahamkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu kereta yang juga seorang warga emas gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu merempuh premis berkenaan.

Kejadian berlaku apabila sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian belakang kereta itu.

Pemandu kereta berusia dalam lingkungan 70-an itu dalam perjalanan dari Ipoh ke Menglembu bersama dua yang lain sebelum terbabas dan merempuh kedai makan.

Akibat terlalu panik dan terkejut, pemandu warga emas itu terus merempuh kedai makan yang berada di bahagian kanan jalan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku namun penunggang motosikal dipercayai mengalami kecederaan ringan dan sudah dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Pemiliknya, Ng Chee Keong, 53, dan isteri pada ketika itu sedang sibuk melayan pelanggan yang sedang menjamu sarapan pagi.

“Saya dan isteri berada di belakang kedai ketika kejadian. Tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman kuat dalam kedai.

“Selepas mendengar bunyi itu, saya segera ke bahagian tepi kedai dan mendapati sebuah kereta Toyota lama tersadai di bahagian dalam premis,” katanya.

Chee Keong berkata, dia kerugian kira-kira RM10,000 kerana terdapat pelbagai peralatan dan perabot di kedainya rosak akibat rempuhan itu.

“Walaupun berdepan kerugian, kami bernasib baik kerana tidak ada pelanggan yang cedera dalam kejadian ini. Namun, kami terpaksa mengambil masa membaik pulih kedai bagi kerja-kerja pembaikan supaya perniagaan boleh berjalan seperti sediakala,” katanya.

 Sumber: Sinar Harian

Berpantang Maut Sebelum Ajal


KOTA BHARU - Berpantang maut sebelum ajal. Biarpun keadaan kereta yang dinaiki remuk, namun pemandunya terselamat hanya cedera ringan pada badan.

Dalam kejadian di Jambatan Kubang Kachang, Tiong di sini, kira-kira jam 9.05 pagi semalam, mangsa Shahrizat Sulaiman, 29, seorang penyelia di sebuah pasar raya cedera tangan dan badan akibat tersepit dalam remukkan terbabit.



Difahamkan ketika kejadian, mangsa memberhentikan kenderaannya atas jambatan itu setelah mendapati sebuah lori kontena di hadapannya berhenti dan secara tiba-tiba terdapat lori tangki petrol dari arah sama merempuh keretanya menyebabkan mangsa tersepit.

Mangsa bernasib baik kerana ketika kejadian beberapa penduduk di kawasan terbabit yang terus mengeluarkannya dari kereta dan di bawa ke sebuah rumah berdekatan sebelum dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk rawatan.

Bapa mangsa, Sulaiman Ibrahim, 59, ketika ditemui di tempat kejadian terkejut dan pada awalnya menyangka anak kesayangannya itu maut kerana keadaan kereta Mercedes C260 yang dipandu anaknya remuk secara keseluruhannya.

Menurutnya, kira-kira jam 9 pagi semalam anak ketiganya itu keluar rumah untuk ke tempat kerja dan dia juga sempat menasihatkannya supaya berhati-hati ketika memandu.

“Saya terkejut kerana selepas setengah jam kemudian dia sendiri menghubungi saya memberitahu dia kemalangan dan saya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Setelah sampai di tempat kejadian saya ingatkan dia sudah meninggal dunia kerana keadaan keretanya sangat teruk dan remuk, tetapi saya bersyukur kerana penduduk memberitahu dia hanya cedera ringan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Darul Naim bersama tiga anggota yang diketuai Mat Rifin Mamat ke tempat kejadian.

“Kita hanya membantu memindahkan kenderaan mangsa untuk diletakkan di tepi jambatan bagi mengelak kesesakan memandangkan mangsa sudah dikeluarkan penduduk kampung,” katanya.

Kejadian itu juga turut menyebabkan kesesakan jalan raya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian berikutan kejadian itu berlaku di tengah jambatan dan keadaan itu dapat dikawal dengan bantuan anggota trafik.

Sumber. Sinar Harian

Sunday, April 3, 2011

Al-Quran dalam Kerentungan Van

Kita pernah dikejutkan semasa tsunami merempuh Acheh, semua rumah musnah,, hanya tinggal masjid yang sempurna tanpa cacat cela. Kini  dikejutkan lagi dengan kejadian sebuah van yang rentung, tetapi sebuah Al-Quran yang terletak di tempat duduk belakang van tersebut, dalam keadaan sempurna, hanya kulitnya sedikit terbakar..










Saturday, April 2, 2011

Nyaris Rentung Di Alor Gajah


ALOR GAJAH: Tiga sekawan nyaris rentung apabila kereta Proton Wira dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 205.4 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi selepas tiga lelaki berusia 20-an itu diselamatkan orang ramai yang menyedari kejadian sebelum kenderaan mereka terbakar.


Proton Wira itu mulanya terbabit kemalangan dengan Toyota Camry dan pada masa sama, Proton Saga tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan berkenaan.

Difahamkan, Toyota Camry dinaiki empat individu masing-masing dua lelaki dan dua perempuan manakala Proton Saga dinaiki sepasang suami isteri.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II, Ho Yew Men berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 6.15 pagi.


“Sepasukan anggota bersama jentera tiba di lokasi 17 minit kemudian untuk memadam kebakaran. Kita mengambil masa 10 minit untuk mengawal api dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.


Sumber: myMetro

Pelajar Politeknik Maut di Taman Bidara


Al-Fatihah,
KULIM - Seorang Pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Izzat Fazree Fazlon, 23, maut apabila motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggangnya merempuh sebuah motosikal jenis Kawasaki yang membelok masuk ke Taman Bidara, kira-kira jam, 4.45 petang, kelmarin.

Ketua Polis Trafik Kulim, Asistant Superintendan, Ismail Ayob berkata, seorang mangsa mengalami cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang yang berusia 24 tahun mengalami cedera parah.

“Dari siasatan dijalankan polis mendapati kedua-dua motosikal ini dari arah simpang tiga Keladi.

"Apabila tiba di persimpangan Taman Bidara, penunggang motosikal Kawasaki cuba membelok. Mangsa yang datang dari arah belakang dilaporkan cuba memotong di sebelah kanan dan mereka bertembung," katanya.

Ismail berkata, akibat rempuhan kuat, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal Kawasaki parah.

Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Bilik Mayat Hospital Kulim untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang parah dikejarkan ke hospital sama sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya.

Ismail menasihatkan kepada semua penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

“Tidak perlu menunggang motosikal dengan laju dan melulu kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan.

“Sekiranya penunggang motosikal takut kelewatan, mereka seharusnya keluar lebih awal. Dengan cara ini mereka tidak akan tergesa-gesa ketika menunggang motosikal, “ katanya

Sumber: Sinar Harian

Kereta Terbakar lagi di Gurun, Kedah

2 April 2011, Kira -kira jam 5.30 petang, beberapa kilometer dari R n R Gurun sebuah kereta Myvi terbakar setelah terlanggar pembahagi jalan.





Maklumat lanjut layari nurizspace.com

 Sumber: nurizspace.com

Maut Dirempuh Toyota Wish


BENTONG – Seorang pejalan kaki yang sedang melintas di Kilometer 64.1 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dekat sini maut apabila dirempuh sebuah kenderaan kira-kira jam 11.45 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa, Tika Bahadur, 27, warganegara Nepal dipercayai melintas di laluan laju untuk ke seberang jalan.

Menurutnya, ketika sedang melintas, mangsa dirempuh oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Kenderaan itu dinaiki oleh tiga orang termasuk seorang pemandu dan ketiga-tiganya tidak mengalami kecederaan.

“Namun kenderaan dinaiki mereka rosak teruk di bahagian hadapan akibat kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, Tika Bahadur mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan yang sedang menuruni bukit dan gelap.

“Kemungkinan, pemandu kenderaan tidak nampak mangsa sedang melintas atas faktor dinya-takan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 :dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Rosli berkata, pejalan kaki dinasihatkan tidak melintas di lebuh raya kerana ia berbahaya terutama pada waktu malam.

Menurutnya, kejadian seperti ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua pejalan kaki terutama di lebuh raya supaya mematuhi undang-undang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sumber: Sinar Harian

Friday, April 1, 2011

Tangan Bertaburan Apabila Treler Merempuh Treler

1 April 2011 : RAWANG – Kira-kira jam 5.45 pagi, satu kemalangan telah berlaku di
KM 445.4 Lebuhraya Utara Selatan arah K Lumpur selepas susur Rawang.  Dua buah lori treler terbabit dalam kemalangan ini.






Kemalangan berpunca dari sebuah trailer yang membawa muatan seramik untuk sebuah kilang sarung tangan (dipercayai) telah hilang kawalan dan terbalik. Dalam masa yang sama, sebuah treler yang membawa muatan simen, gagal mengelak dan terbabas ke kiri jalan hinggga menyebabkan pemandunya tersepi. 












Pemandu muatan simen yang tersepit antara kerusi dan stereng hanya dapat dikeluarkan 2jam 35minit selepas itu dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Rawang. 




Keadaan jalan menjadi sesak akibat dari kemalangan tersebut.





Sumber : Facebook Syed Btp & ondscene.my


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my