PEKAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang dibonceng terjatuh ketika mahu masuk ke simpang menuju ke Kampung Pasir Panjang di Kilometer 2 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 malam itu, mangsa, Muhamad Arrafi Abdul Hakim, 18, maut selepas tercampak ke jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang datang dari arah Pekan menuju ke Nenasi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut serta merta di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Saifuddin Abdul Karim yang menunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian tulang belakang.
“Ketika kejadian, motosikal yang dipandu rakan mangsa cuba membelok ke arah kanan sebelum terjatuh dan mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang membawa muatan benih kelapa sawit.
“Pemandu lori berusia 42 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah pun membuat laporan polis berhubung kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Yahaya berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut.
Sehubungan itu beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan seperti itu berulang.
“Kepekaan kita terhadap amalan berhemah serta keselamatan diri dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sekali gus mewujudkan persekitaran selamat bagi diri dan pengguna jalan raya lain.
“Saya berharap semua pengguna jalan raya lebih berhemah terutamanya penunggang motosikal yang harus mengambil langkah berhati-hati ketika berada di atas jalan raya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment