loading...

Monday, April 4, 2011

Berpantang Maut Sebelum Ajal


KOTA BHARU - Berpantang maut sebelum ajal. Biarpun keadaan kereta yang dinaiki remuk, namun pemandunya terselamat hanya cedera ringan pada badan.

Dalam kejadian di Jambatan Kubang Kachang, Tiong di sini, kira-kira jam 9.05 pagi semalam, mangsa Shahrizat Sulaiman, 29, seorang penyelia di sebuah pasar raya cedera tangan dan badan akibat tersepit dalam remukkan terbabit.



Difahamkan ketika kejadian, mangsa memberhentikan kenderaannya atas jambatan itu setelah mendapati sebuah lori kontena di hadapannya berhenti dan secara tiba-tiba terdapat lori tangki petrol dari arah sama merempuh keretanya menyebabkan mangsa tersepit.

Mangsa bernasib baik kerana ketika kejadian beberapa penduduk di kawasan terbabit yang terus mengeluarkannya dari kereta dan di bawa ke sebuah rumah berdekatan sebelum dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk rawatan.

Bapa mangsa, Sulaiman Ibrahim, 59, ketika ditemui di tempat kejadian terkejut dan pada awalnya menyangka anak kesayangannya itu maut kerana keadaan kereta Mercedes C260 yang dipandu anaknya remuk secara keseluruhannya.

Menurutnya, kira-kira jam 9 pagi semalam anak ketiganya itu keluar rumah untuk ke tempat kerja dan dia juga sempat menasihatkannya supaya berhati-hati ketika memandu.

“Saya terkejut kerana selepas setengah jam kemudian dia sendiri menghubungi saya memberitahu dia kemalangan dan saya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Setelah sampai di tempat kejadian saya ingatkan dia sudah meninggal dunia kerana keadaan keretanya sangat teruk dan remuk, tetapi saya bersyukur kerana penduduk memberitahu dia hanya cedera ringan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Darul Naim bersama tiga anggota yang diketuai Mat Rifin Mamat ke tempat kejadian.

“Kita hanya membantu memindahkan kenderaan mangsa untuk diletakkan di tepi jambatan bagi mengelak kesesakan memandangkan mangsa sudah dikeluarkan penduduk kampung,” katanya.

Kejadian itu juga turut menyebabkan kesesakan jalan raya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian berikutan kejadian itu berlaku di tengah jambatan dan keadaan itu dapat dikawal dengan bantuan anggota trafik.

Sumber. Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my