loading...

Tuesday, October 18, 2011

Tak Sempat Beli Sari

TAMPIN –Hasrat seorang isteri untuk menyambut perayaan Deepavali tidak kesampaian setelah maut semasa mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tampin (HT), semalam.

Mangsa, K Thivayi, 55, disahkan maut selepas mendapatkan rawatan susulan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 27.5, Jalan Tampin-Gemas, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Menurut suami mangsa, M Karupaya, 56, ketika kejadian isterinya itu dipercayai dalam perjalanan daripada kediaman mereka yang terletak di Batu Anam, Segamat ke Bandar Tampin, kira-kira 10 pagi.

“Pagi sebelum kejadian iaitu sekitar 8 pagi, kami sempat sarapan bersama sebelum saya pergi bekerja ke Pahang. Semasa minum bersama, isteri menyatakan ingin ke bandar Tampin tetapi berjanji akan menaiki bas.

“Oleh itu, saya sangat terperanjat apabila dimaklumkan polis dari Batu Anam bahawa isteri saya menunggang motosikal maut dirempuh kereta,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat HT, semalam.

Menurutnya, dia sangat sedih dan tidak menyangka isterinya betul-betul mahu ke Pekan Tampin dengan menaiki motosikal. Malah, berkemungkinan bagi membeli pakaian sempena perayaan Deepavali.

“Isteri pernah menceritakan kepada saya mengenai sari di bandar Tampin jauh lebih murah berbanding di tempat lain. Malah, sejak seminggu lalu, banyak kuih telah dibuatnya untuk dimakan bersama anak dan cucu sempena Deepavali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda dari arah Gemas cuba mengelak motosikal yang keluar dari kedai menjual getah menyebabkan pemandu terbabit hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, sejurus kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Sport dari arah Tampin bertembung dengan kereta terbabit.

“Mangsa kemudiannya disahkan mati ketika mendapat rawatan di HT. Manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis” katanya.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kemalangan dan meminta saksi supaya tampil membantu siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4431999 untuk menyalurkan maklumat.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my