loading...

Tuesday, October 18, 2011

Kemalangan 9 Kenderaan



SEREMBAN – Berpunca daripada sebuah kereta terbabas, ia menyebabkan lapan lagi kenderaan terlibat sama dalam kemalangan Jalan Tampin - Seremban, dekat persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Mas, Senawang, di sini, semalam.


Kesemua lapan kenderaan itu dikatakan sedang berhenti di persimpangan berikutan lampu isyarat merah.

Kemalangan berlaku berhampiran Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri kira-kira 8.30 pagi menyebabkan laluan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira tiga kilometer di situ.

Kemalangan membabitkan tujuh kereta serta masing-masing sebuah van sekolah dan lori, kesemua dari arah Tampin menghala ke pusat bandar.

Bagaimanapun, daripada 19 mangsa berusia lingkungan 20an hingga 40an yang terlibat, hanya enam melibatkan dua lelaki dan empat wanita dalam cedera dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, manakala bakinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Seremban, S.Gunaselan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.33 pagi.

:“Seramai 18 anggota dan pegawai membabitkan tiga jentera bomba dari Balai Bomba Seremban tiba di lokasi kemalangan, sejurus selepas itu.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit di sebuah kereta jenis Mercedes Benz berikutan kereta berkenaan bertindih dengan sebuah Proton Iswara,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada Mercedes Benz berkenaan yang dipandu seorang lelaki terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, Mercedes Benz terbabit melanggar kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut,” katanya.

Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan polis masih menunggu pemilik kenderaan terlibat membuat laporan.

Sumber: Sinar Harian 


Kereta Terbang

“Apabila tiba di lampu isyarat itu, saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak sebuah kereta Proton Iswara ‘terbang’ menghempap bumbung kereta lain,” kata Rizal Adnan, 20, saksi kemalangan membabitkan lapan kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Emas, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang dan terkejut menyaksikan kejadian ngeri itu.

Rizal berkata, dia bergegas ke tempat kejadian dan melihat pemandu kereta Mercedes Benz yang merempuh deretan kenderaan itu tersepit di tempat duduk pemandu.

“Saya bersama orang awam lain cuba mengeluarkannya, namun kehadiran bomba di tempat kejadian tepat pada masanya,” katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, pemandu Proton Iswara itu bagaimanapun terselamat daripada maut walaupun keretanya rosak teruk.


Kemalangan itu turut membabitkan enam kereta, sebuah van sekolah dan sebuah lori.

Kenderaan berkenaan berada di laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta jenis Mercedes Benz terbabit dipercayai dipandu laju dari Jalan Seremban-Tampin, di sini.


Difahamkan, akibat kesan hentaman kuat itu, lima mangsa di dalam kereta berasingan cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan.

Berikutan kemalangan terbabit, laluan Senawang ke Seremban berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini sesak sepanjang tiga kilometer.


Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku dari arah Senawang menghala ke Seremban membabitkan 19 mangsa berusia 20-an hingga 40-an.


Difahamkan, 14 mangsa lain yang turut berada di dalam kenderaan tidak cedera.


“Siasatan awal mendapati Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 62 tahun itu tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kenderaan lain,” katanya.


Menurutnya, kejadian itu menyebabkan enam kenderaan lain tidak sempat menekan brek berikutan jarak antara kenderaan terlalu dekat dan terkejut melihat sebuah kereta melambung tinggi sebelum ‘terbang’ ke atas dua kereta lain di laluan bertentangan.


Katanya, pemandu kereta Mercedes Benz itu tersepit di tempat duduk pemandu dan orang ramai terus menghubungi balai bomba berdekatan.


Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Seremban, S Gunaselan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi.


“Tiga jentera bomba dari Balai Bomba Seremban bersama 18 anggota dan pegawai tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.


“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa tersepit berikutan kenderaan bertindih dengan sebuah kereta Proton Iswara,” katanya.

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my