loading...
Thursday, October 20, 2011
Maut Tersepit Dalam Kemalangan Di Karak
KARAK – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Mempaga-Karak dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor berkata, mangsa dikenali sebagai, Lim Yau Chong berusia 24 tahun beralamat di Puchong, Selangor.
Menurutnya, mangsa menaiki kenderaan jenis Proton Iswara Aerocback seorang diri dalam perjalanan dari arah Mempaga ke Karak.
“Setibanya di tempat kejadian iaitu satu selekoh berhampiran Kampung Aji Kubur dekat sini, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas kemudian terlanggar bahagian belakang kanan sebuah Hilux.
“Kereta dinaiki mangsa kemudiannya berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan sebuah Hilux kedua dari arah hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu mangsa tersepit di dalam kereta dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. “Pemandu Hilux pertama tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu dan dua penumpang Hilux kedua hanya cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Bentong.
“Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya. Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Abdullah Yaakob berkata, dengan kekuatan lima anggota dan sebuah jentera, mereka bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan dari orang awam.
“Kami mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta. “Pintu kereta terpaksa dipotong bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment