Inalillahi wainailaihi rojiun
TELUK INTAN - Seorang nelayan dalam perjalanan pulang ke Hutan Melintang dari rumah kakaknya di Ipoh maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori muatan ikan di Kilometer 10 Teluk Intan-Bidor, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa dikenali sebagai Zainal Abidin Saad, 29, berasal dari Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor maut di tempat kejadian.
Menurutnya, kemalangan jalan raya berlaku kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin melibatkan sebuah lori muatan ikan dan sebuah motosikal jenis Kriss Modenas yang ditunggang mangsa dari arah Bidor ke Teluk Intan.
“Mangsa memandu seorang diri manakala pemandu lori berusia 62 bersama isterinya berusia 59 tahun selain berasal daripada Hutan Melintang, dekat sini.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori muatan ikan dari arah Teluk Intan ke Bidor,” katanya.
Kok Liang berkata, pertembungan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.
“Mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk tindakan selanjutnya.
“Sementara pemandu lori dan isterinya hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HTI,” katanya.
Beliau berkata, jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarganya kelmarin untuk urusan pengebumian di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor.
Katanya, pihaknya kini sedang mengesan saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat.
“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Hilir Perak, Inspektor Mohd Azli di talian 05-629 9222.
“Pihak kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment