loading...
Thursday, October 17, 2013
Tak sempat menyambut Hari Raya Aidiladha
Inalillahi wainailaihi rojiun
17 Oktober 2013
TITI SERONG - Hasrat seorang lelaki untuk pulang menyambut Hari raya Aidiladha bersama isteri tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Tanjung Piandang, di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa, Muhamad Hanapiah Abdullah 38, yang menunggang motosikal Kawasaki Ninja 250 dari arah Titi Serong ke Tanjung Piandang dipercayai memasuki lorong bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Hybrid.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
“Kesan pelanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan tercampak sejauh lebih 10 meter.
“Bagaimanapun, pemandu kereta, seorang lelaki berusia 32 tahun hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Parit Buntar," katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, abang ipar mangsa Zulkifli Razali, 32, berkata, dia sama sekali tidak menyangka mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut itu adalah adik iparnya sendiri.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tanjung Piandang, dia melalui lokasi kejadian dan melihat orang ramai berkumpul menyaksikan kemalangan maut tersebut.
“Apabila sampai di rumah, belum pun sempat saya menceritakan tentang kemalangan yang saya lihat tadi kepada keluarga, ayah terus memaklumkan bahawa adik ipar saya terlibat dalam kemalangan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, saya hampir pengsan melihat sekujur tubuh ditutupi selimut di atas jalan manakala motosikal adik ipar saya hancur berkecai,” katanya.
Zulkifli berkata, mangsa yang bekerja di Kuala Lumpur sebenarnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sini untuk menyambut Hari raya Aidiladha bersama isteri dan keluarga mentuanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/tak-sempat-beraya-dengan-isteri-1.211934
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment