17 Oktober 2013
JASIN - Rasa tidak sedap hati sehingga menyebabkan lewat membuka gerai menyelamatkan seorang pengusaha air tebu dan cendol daripada ditimpa kabel dan tiang elektrik, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9.50 pagi di Jalan Bunga Raya Felda Kemendor, dekat sini, sebuah lori milik Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dari arah Air Kangkung ke Jasin itu mengalami masalah brek menyebabkan pemandunya merempuh sebatang tiang elektrik.
Akibatnya, tiang elektrik berkenaan bukan saja tercampak, malah kabelnya tumbang menghempap gerai yang diusahakan pasangan suami isteri sejak tiga tahun lalu.
Pengusaha gerai, Sutiatun Saimon, 49, berkata, sebelum kejadian, dia rasa tidak sedap hati untuk keluar berniaga, ditambah pula masalah bekalan air terputus di rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari gerai berkenaan, menyebabkan dia terpaksa menadah air.
"Saya terdengar bunyi dentuman kuat, tapi tidak syak sebarang perkara buruk berlaku. Saya sedar apabila jiran menjerit memberitahu gerai saya terbalik. Saya terus keluar rumah dan nampak gerai saya sudah rosak," katanya.
Menurutnya, biasanya, dia membuka gerai pada jam 9 pagi, tapi dia bernasib baik kerana membuka gerai lewat, sekali gus menyelamatkannya.
"Agaknya kalau saya berada di gerai itu, bukan saja saya, malah ramai pelanggan turut menjadi mangsa kemalangan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Sutiatun berkata, akibat kemalangan itu, dia kerugian kira-kira RM2,000 apabila barangan dalam gerainya turut rosak.
Dia dan suaminya turut berharap MPJ dapat menggantikan semula gerainya yang menjadi satu-satunya punca pendapatannya sekeluarga.
“Saya sedih dan keadaan ini sudah pasti membuatkan saya tidak dapat berniaga seperti biasa, Banyak peralatan yang rosak. Saya harap MPJ prihatin dengan masalah kami ini," katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Jasin.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tiang-elektrik-hempap-gerai-dirempuh-lori-mpj-1.211929
No comments:
Post a Comment