loading...

Friday, February 1, 2013

Peragut patah kaki


1 Februari 2013

Kulim: Dua peragut bernasib malang apabila bukan saja gagal meragut telefon bimbit milik seorang lelaki, malah seorang daripada mereka patah kaki kanan selepas terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5 petang di Jalan Kelang Lama, di sini, apabila motosikal yang dinaiki dua suspek berusia 23 dan 30 tahun terbabit memecut sebelum merempuh belakang sebuah kereta ketika dikejar polis serta ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM). Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai identiti suspek dan nombor pendaftaran motosikal mereka selepas cuba meragut telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 40 tahun di pekan Kulim.


Menurutnya, sebaik mengesan suspek, sebuah kereta peronda polis (MPV) dengan bantuan ahli PPKM mengejar motosikal yang dinaiki kedua-dua lelaki terbabit, namun mereka memecut ke Jalan Kelang Lama untuk melarikan diri.

“Namun, tindakan suspek gagal apabila motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar malam Kelang Lama menyebabkan kedua-dua lelaki itu terjatuh daripada motosikal lalu ditahan polis.

“Kedua-dua suspek yang cedera dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan dan seorang daripadanya berusia 23 tahun patah kaki kanan akibat kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek berusia 30 tahun berkenaan berada dalam senarai dikehendaki polis kerana disyaki terbabit kejadian rogol di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.



Dua peragut terpaksa berputih mata

2 Februari 2013
KULIM - Dua peragut terpaksa berputih mata apabila motosikal jenis Yamaha 125Z ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah kereta ketika cuba melarikan diri setelah meragut seorang lelaki di sebuah kedai 24 jam, di sini, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam empat petang itu, kedua-dua suspek merempuh bahagian belakang kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kilang Lama.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, suspek menghampiri mangsa yang juga ahli PPKM dan cuba merampas telefon bimbit mangsa bagaimanapun, telefon itu terjatuh.

Menurutnya, mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepadanya sebelum operasi mencari suspek diadakan oleh ahli PPKM.

“Saya mengarahkan semua ahli PPKM mengekori suspek dan apabila tiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Kilang Lama, suspek merempuh bahagian belakang kereta di hadapannya.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua suspek tercampak dan penunggang motosikal patah kaki kanan manakala pembonceng luka di bahagian dagu," katanya.

Tambahnya, kejadian itu  dilaporkan kepada polis dan suspek yang patah kaki dikejarkan ke Hospital Kulim manakala pemboncengnya diserahkan ke Balai Polis Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis berjaya merampas beberapa alat peralatan mencuri motosikal dan palam pencucuh motosikal yang diubah suai bagi tujuan memecahkan cermin kereta.

Menurutnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan aktif menjalankan kegiatan jenayah di sekitar Kulim dan Bukit Mertajam.

"Motosikal yang digunakan suspek juga motosikal curi yang dilaporkan hilang di Permatang Pauh, Bukit Mertajam.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes, samun, ragut dan curi motosikal di sekitar Kulim,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutpatahkakirempuhkereta//Article/index_html
sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-peragut-berputih-mata-1.127445


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my