loading...
Monday, July 30, 2012
Tiga sekeluarga maut kemalangan
BENTONG – Perjalanan pulang tiga sekeluarga dari kuil di Ladang Sabai ke rumah keluarga mereka di Sri Telemong, dekat sini, bertukar tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 petang kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai P Kiru, 21, isterinya, B Anita, 27 dan anak mereka, K Thirumugilan, 3.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku di Kilometer 7.5 Jalan Karak-Kuala Pilah membabitkan motosikal Honda EX5 dinaiki tiga sekeluarga itu dan sebuah kereta Honda Civic.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang dari kuil, motosikal ditunggangi Kiru dipercayai terbabas ke kanan jalan ketika melalui satu selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Kemudian motosikal mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Karak ke Telemong.
“Pertembungan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak ke kanan jalan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, Kiru dan Anita disahkan mati di tempat kejadian, manakala anak mereka pula sempat dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk menerima rawatan akibat kecederaan di bahagian kepala.
Menurutnya, kanak-kanak berusia 3 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia pagi semalam ketika menerima rawatan.
“Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dipercayai tidak memakai topi keledar. Ujian darah turut diambil membabitkan penunggang motosikal dan pemandu kereta.
“Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Abdul Aziz berkata, susulan kejadian itu, beliau mengingatkan penunggang motosikal supaya memakai topi keledar walaupun dalam perjalanan jarak dekat kerana ia penting untuk keselamatan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-sekeluarga-maut-nahas-1.71365
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment