loading...

Saturday, June 16, 2012

Satu Komuniti Satu JPJ



BACHOK 14 Jun - Banyak halangan yang terpaksa dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman untuk mendapatkan lesen memandu secara sah.

Antara lain, masalah kemiskinan, tidak boleh membaca serta menulis, jarak dan lokasi sekolah memandu terlalu jauh serta kos yang mahal.

Keadaan itu menyebabkan ramai dalam kalangan mereka khususnya warga emas, melupakan impian untuk memiliki lesen dan sanggup memandu 'secara haram'.

Akibat tidak memiliki lesen sah dan pengetahuan cara pemanduan berhemah, mereka khususnya kalangan warga emas, terdedah kepada pelbagai risiko seperti dikenakan tindakan undang-undang dan terlibat kemalangan.

Menyedari masalah yang dihadapi oleh penduduk terlibat mendorong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai agensi kerajaan bertanggungjawab, telah mengambil inisiatif tampil membantu.

Usaha tersebut dilakukan apabila JPJ memperkenalkan program dikenali sebagai Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ), iaitu lanjutan daripada program JPJ Bersama Rakyat yang dilaksanakan sebelum ini.

Melalui usaha murni itu kira-kira 15,000 masyarakat luar bandar di seluruh negara yang rata-rata berpendapatan rendah, berumur 45 tahun ke atas berjaya mendapatkan lesen memandu sepanjang tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan program itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, ia turut memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli berumur 21 tahun ke atas mendapatkan lesen.

"Sejak tahun 2009 hingga sekarang, lebih 3,000 masyarakat Orang Asli seluruh negara berjaya mendapatkan lesen melalui program ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup SKSJ di Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, dekat sini, baru-baru ini.

Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Pelbagai acara turut diadakan sepanjang program itu termasuk sukaneka dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan.

Solah berkata, di Kelantan masyarakat Orang Asli dikumpulkan di perkampungan Pos Brooke dan di Lojing, Gua Musang bagi membolehkan mereka menyertai ujian mengambil lesen memandu motosikal dengan mudah.

Sementara di Bachok pula, katanya, 480 nelayan dan petani berjaya mendapat lesen melalui program sama yang diadakan di SK Beris Panchor.

Menurut Solah lagi, bagi membantu kumpulan sasar, JPJ hanya mengenakan bayaran paling minimum berbanding yang dikenakan oleh sekolah memandu.

"Kita hanya mengambil bayaran asas tanpa mengenakan caj sampingan. Bayaran yang JPJ kenakan sangat rendah iaitu RM150, berbanding RM300 di sekolah memandu," katanya.

Jelas Solah, di bawah program tersebut, JPJ hanya memfokuskan kepada pemberian lesen motosikal kelas B2, kerana kebanyakan masyarakat boleh menunggang motosikal dan memiliki kenderaan itu berbanding kereta.

Melalui program itu juga katanya, anggota JPJ turut berpeluang berkongsi maklumat dan menyebarkan info terkini kepada masyarakat yang terpilih secara tidak langsung.

Sementara itu, seorang nelayan, Abdul Kadir Mamat, 77, dari Kampung Perupok, Bachok berkata, program tersebut membuka peluang yang luas kepada warga emas, termasuk dirinya yang tidak tahu menulis dan membaca untuk menduduki ujian bertulis.

Abdul Kadir yang teruja apabila berjaya memperoleh lesen memandu berkata, pemilikan lesen memandu itu dianggap sebagai satu anugerah dalam sejarah hidupnya.

Ini kerana dia tidak pernah mengimpikannya sebelum ini, walaupun sudah menggunakan motosikal sejak sekian lama.

Seorang lagi penduduk, Ariffin Yunus, 65, dari Kampung Wakaf Aik pula berkata, pendekatan yang dilaksanakan oleh JPJ amat berkesan dan menggalakkan penduduk, khususnya kalangan warga tua supaya memiliki lesen memandu secara sah.

"Banyak manfaat yang diperolehi daripada program ini dan ia perlu diteruskan bagi membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan lesen kerana ditakuti sebahagian besar pemilik motosikal tidak mempunyai lesen.

"Pada masa yang sama, melalui program sebegini ia dapat mendekatkan masyarakat dengan JPJ secara berterusan," katanya.

Bagi Ismail Abdullah, 45, dari Kampung Kubang Kawah pula, apa yang menarik adalah program tersebut turut menyediakan beberapa perkhidmatan seperti pembayaran saman, pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu.

Ini ditambah dengan perkhidmatan membaiki motosikal percuma yang diberikan oleh pelatih Pusat GiatMara Bachok.

"Ini kemudahan-kemudahan yang sememangnya diperlukan oleh penduduk luar bandar," katanya.

Pandangan sama disuarakan oleh Che Darus Abdul Rahman, 59, dari Kampung Kubang Golok yang turut menyifatkan program itu telah mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dengan pegawai JPJ.

Che Darus berkata, dia mendapat banyak maklumat bermanfaat sepanjang mengikuti program tersebut yang turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my