loading...

Saturday, June 16, 2012

Hati-Hati Simpang Anggerik Vanilla



SHAH ALAM 12 Jun - Para pengguna jalan raya yang saban hari melalui kawasan simpang tiga Jalan Anggerik Vanilla, 31/R, Kota Kemuning di sini diancam bahaya ekoran ketiadaan bonggol jalan dan papan tanda sejak sekian lama.

Keadaan itu menyebabkan banyak kemalangan berlaku malah sebilangan daripadanya melibatkan kenderaan berat seperti lori dengan motosikal.

Berikutan itu, orang ramai yang berulang-alik menggunakan jalan tersebut meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak segera mengatasi masalah berkenaan bagi mengelak lebih banyak insiden buruk berlaku.

Seorang peniaga, Lee Seow Ping, 36, berkata, hampir setiap bulan berlaku kes kemalangan jalan raya membabitkan pengguna di laluan tersebut.

"Saya kerap menyaksikan motosikal berlanggar sesama sendiri dan kenderaan bertembung antara satu sama lain. Mujurlah tiada kehilangan nyawa atau kecederaan parah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang jurutera, Siti Nor Mawarni Subramullisi, 29, berkata, ketiadaan papan tanda dan bonggol di kawasan tersebut menyusahkan para pemandu.

"Kebanyakan pemandu dan penunggang motosikal yang melalui kawasan ini memandu dengan laju. Mereka juga keluar dari simpang secara melulu.

"Selain itu, ketiadaan papan tanda sangat mengelirukan bagi mereka yang mahu membelok ke kiri dan kanan atau membuat pusingan U.

"Kawasan ini cepat membangun dan semakin banyak kenderaan menggunakan laluan ini terutama pada waktu puncak dan musim perayaan. Jadi kemudahan jalan raya yang lebih sistematik amat diperlukan," katanya lagi.

Seorang pengawal peribadi, Rahman Musa, 43, pula berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah apabila lampu jalan di kawasan tersebut rosak.

"Ia membimbangkan kami semua kerana kemungkinan kemalangan berlaku sangat tinggi jika tiada cahaya menerangi simpang tiga itu. Pokok-pokok yang ditanam di sekitar jalan juga tidak sesuai serta mengganggu pemanduan berikutan keadaan jalan raya yang agak sempit," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi tersebut mendapati, ramai penunggang motosikal hampir bertembung sesama mereka manakala kereta dan lori yang penuh muatan pula kerap terbabas kerana tidak pasti arah yang hendak dituju.

Penduduk berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlaku kemalangan yang meragut nyawa.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my