loading...
Monday, April 9, 2012
Nissan Grand Livina rentung
SEMANGGOL – Gagal memotong lori di hadapan, seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah lori lain dari arah bertentangan di Batu 9, Jalan Semanggol, di sini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa, Theng Kooi Cheng, 57, gagal keluar dari keretanya selepas tersepit di bahagian kerusi hadapan sebelum terbakar dalam kejadian jam 5.12 petang, kelmarin.
Menurutnya, sebelum itu, mangsa dikatakan cuba memotong dua lori di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
“Akibatnya, mangsa yang memandu sendirian kereta jenis Nissan Grand Livina terperangkap sebelum rentung.
“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Semanggol ke Kamunting dan keretanya terbakar 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa yang berasal dari Bukit Jana, Taiping dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
Katanya, bahagian hadapan lori itu turut terbakar dan pemandunya yang cedera dirawat di Hospital Taiping.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Mohd Alias Bahari berkata, dia bersama sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian kira-kira jam 5.15 petang selepas menerima panggilan daripada orang awam.
Menurutnya, api yang dipercayai berpunca daripada lelehan minyak petrol itu dapat dikawal dalam masa satu minit.
Katanya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting yang disertai enam anggota turut ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun pihak bomba masih menjalankan siasatan mengenai punya sebenar kebakaran tersebut,” katanya.
Manakala, Adun Semanggol Ramli Tusin berkata, dia turut berkejar ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan penduduk.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak menyambar sebahagian kereta dan pihak bomba berusaha memadamkan kebakaran.
Beliau menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati agar kejadian sama tidak berulang.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/rentung-lepas-bertembung-lori-1.38601
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment