loading...

Saturday, April 14, 2012

Jangan tergesa-gesa memandu



KANGKONG – Seorang lelaki menemui maut, apabila kereta yang dipandu, terbabas dan melanggar stor di Kampung Bulug Melintang, jam 5.30 petang, kelmarin.

Mangsa, Tan Meng Lee, 51, meninggal dunia di tempat kejadian, apabila kereta Vios yang dipandu mangsa, dihempap tiang elektrik sejurus selepas kemalangan.

Sementara itu, mangsa lain, Ong, 54, berkata, dia yang memandu seorang diri dari arah Pasir Mas ke Chekok, terkejut apabila Meng Lee, cuba memotongnya dari arah belakang.

“Mangsa tidak sempat memotong, seterusnya melanggar kereta saya dan terbabas ke stor di sebelah kiri,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, Meng Lee tidak dapat dikeluarkan kerana dikelilingi oleh wayar elektrik yang masih aktif.

“Kita dapati terdapat botol tuak berada berdekatan mangsa dan kita masih menyiasat sama ada mangsa mabuk ketika memandu. Meng Lee mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan dipercayai tidak memakai tali keledar,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama kemalangan membawa maut di jalan Pasir Mas-Tanah Merah, tahun ini.

Beliau menasihati semua pengguna jalan raya, agar tidak memandu dengan tergesa-gesa dan mematuhi undang-undang jalan raya.

Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.50 petang.

Seramai tujuh anggota dengan satu jentera, bergegas ke tempat kejadian dan terpaksa menunggu laporan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Setelah kawasan kemalangan disahkan selamat daripada arus elektrik, kita berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 6.33 petang,” katanya.

Sementara itu, saksi, Zohar Mat Zain, 57, berkata, ketika kejadian, dia sedang membaiki lori bersama tiga lagi pekerjanya.

“Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat dan melihat kereta Vios yang dipandu mangsa, melanggar stor manakala kereta Nissan terbabas lebih 200 meter ke hadapan. Mujurlah kemalangan tidak berlaku di kedai saya, kerana ia terletak hanya beberapa meter daripada stor,” katanya.

Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh satu kilometer dari kedua-dua arah, sehingga jam 6.45 petang.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-langgar-stor-dihempap-tiang-elektrik-1.40041

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my