loading...

Saturday, January 7, 2012

Warga Emas Maut Dirempuh Viva


CHUKAI – Hasrat seorang warga emas lelaki keluar rumah bagi mendapatkan ang pau Tahun Baru Cina bertukar menjadi kisah duka bagi keluarganya apabila dia maut ketika menyeberang jalan pagi semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 155 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, di hadapan Stesen Minyak Petronas Jakar itu, mangsa, Cheong Theng Lai, 79, terbunuh di tempat kejadian setelah dirempuh sebuah Perodua Viva ketika sedang menunggang basikal melintas jalan tersebut menuju ke Pesama Timber Corporation.

Nahas kira-kira jam 8.15 pagi itu mengakibatkan mangsa yang beralamat di Kampung Fikri, dekat sini, terpelanting bersama-sama basikalnya ke cermin depan kereta sebelum tercampak sejauh beberapa meter.

Gara-gara rempuhan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki kanan serta tulang rusuknya patah.

Bagaimanapun, pemandu kereta Viva yang beralamat di Kawasan Perpindahan Kampung Jaya dan dalam perjalanan menuju Bandar Chukai tidak mengalami sebarang kecederaan.

Namun, kereta itu remuk teruk di bahagian depan sementara basikal yang ditunggang mangsa turut rosak.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes itu berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga pada tengah hari semalam.

Suasana sedih juga menyelubungi keluarga mangsa kerana terpaksa menerima hakikat kematian bapa tersayang ketika sambutan Tahun Baru Cina tinggal hanya dua minggu lagi, apatah lagi difahamkan mangsa keluar rumah kerana mahu menerima ang pau Tahun Baru Cina.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tragedi-angpau-tahun-baru-cina-1.16923

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my