loading...

Sunday, January 1, 2012

Suami Isteri Maut - Anak terselamat


Inalillahi wainailaihi rojiun 

KUALA KUBU BHARU – “Yang sedihnya dua-dua sekali pergi abang, yatim piatu abang,” rintih Mohd Fizree Mohd Zakri, 25, anak kedua kepada pasangan suami isteri, Mohd Zakri Othman, 56 dan Latifah Hashim, 48, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 419.5 Lebuhraya Utara Selatan dekat Bukit Tagar di sini kira-kira jam 2.30 pagi semalam.


Mohd Fizree cuba ditenangkan rakan serta ahli keluarganya ketika berada di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) kerana tidak dapat menahan kesedihan sebaik melihat jenazah ibu dan bapanya diusung ke dalam van jenazah untuk dibawa pulang ke kampung mereka di Felda Hulu Jempol, Jengka, Pahang.


Menurut Mohd Fizree, ketika kejadian ibu bapa bersama dua adiknya, Noor Fauzana, 22, dan Mohammad Fakhrul Razi, 17, serta seorang saudaranya, Mohammad Ramadan Firdaus Johar, 17, dalam perjalanan pulang ke kampung kerana mahu melawat neneknya yang sakit di Temerloh.


Menurutnya, mereka dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah setelah menghadiri kenduri perkahwinan sepupunya di sana.

Bagaimanapun, malang menimpa mereka apabila kereta Proton Waja dipandu adiknya terbabas sebelum melanggar bucu pengadang lebuhraya sehingga menembusi kereta itu.

“Ayah meninggal dunia di tempat duduk depan dan ibu tercampak keluar dan meninggal dunia di situ.

“Tapi alhamdulillah, dua adik dan saudara saya terselamat dan hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Menurut Mohd Fizree, bapanya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala akibat terkena bucu besi pengadang lebuhraya yang menembusi hingga ke bahagian tempat duduk belakang.

Sementara, ibunya maut akibat tercampak keluar kereta kira-kira dua meter dan kepalanya dipercayai terhantuk pada besi pengadang itu.

Menurutnya, dia menerima panggilan kira-kira jam 3 pagi dan kebetulan dia dan rakannya berada di Kuala Lumpur sebelum bergegas ke HKKB.

Sementara itu, abangnya, Mohd Farizq Mohd Zakir, 28, bersama saudara lain datang daripada Pahang untuk menuntut jenazah ibu bapanya di sini.

Turut kelihatan, ahli keluarga sebelah ibunya yang datang daripada Alor Setar dan kesemua mereka menyempurnakan solat jenazah berjemaah di bilik forensik HKKB.

Kedua-dua jenazah dibawa pulang ke Felda Hulu Jempol kira-kira jam 10.20 pagi untuk dikebumikan di sana.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerah ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Al-Fatihah



Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/suami-isteri-maut-tiga-cedera-1.15714
tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Suami_Isteri_Maut_2_Anak_Terselamat.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my