loading...

Monday, September 12, 2011

Maut Dibawah Lori


Inalillahi Wainailaihi Rojiun

BUKIT BERUNTUNG - Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan yang merempuh antara satu sama lain di Kilometer 429.1 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Plaza Tol Bukit Beruntung arah Ipoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Md Saiful Nizam ismail, 36, tersepit apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori sampah.

Kemalangan itu turut membabitkan dua kenderaan berat lain iaitu sebuah treler muatan simen dan sebuah lagi lori yang mengekori treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kemalangan itu melibatkan empat kenderaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa gagal dikawal sebelum melanggar lori membawa muatan sampah.

“Mangsa yang memandu sendirian melanggar belakang lori berkenaan yang ketika itu berada di lorong perlahan dalam perjalanan ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal di Bukit Tagar, di sini.

“Akibat perlanggaran itu, sebuah treler yang membawa muatan simen dari arah sama gagal mengelak sebelum merempuh kenderaan mangsa, sebuah lagi lori yang berada di belakang treler berkenaan turut tidak sempat mengelak menyebabkannya melanggar bahagian belakang treler,” katanya.

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Norel berkata, pelanggaran keempat-empat kenderaan itu dari arah belakang menyebabkan impak berganda terhadap kereta dipandu mangsa mengalami kesan remuk yang teruk.

Bagaimanapun, menurutnya, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu treler yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang diketuai Pegawai Bomba, Zainuddin Rahman mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Kemalangan turut menyebabkan laluan ke arah Utara sesak sepanjang lebih lima kilometer apabila terdapat lorong yang terpaksa ditutup.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my