loading...
Tuesday, September 13, 2011
Mangsa Samseng Jalanan
KLANG SELATAN - Hanya kerana perlanggaran dua kereta, tiga pemuda bukan sahaja dimarahi, malah dibelasah teruk kira-kira 10 lelaki sehingga hampir pengsan menggunakan kayu, batu dan besi dalam kejadian di Bandar Bukit Tinggi, di sini, Khamis lalu.
Berikutan kejadian itu, kesemua mangsa mengalami pendarahan teruk di kepala sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Masing-masing telah menerima jahitan di kepala.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa hanya ingin dikenali Irman, 27, bersama dua anak buahnya masing-masing berusia 19 dan 21 tahun dalam perjalanan pulang ke kediaman selepas mengambil salah seorang daripadanya di tempat kerja.
Irman berkata, ketika memandu keluar dari simpang tiga, tiba-tiba sebuah kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan laju telah melanggar kenderaannya.
“Saya segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Bagaimanapun sebelum sempat saya keluar, lelaki itu segera menyerbu ke arah kami sambil memaki-hamun kami yang masih dalam keadaan terkejut dan terpinga-pinga.
“Geram dengan tindakan lelaki itu, kami turut keluar dari kenderaan dan mula berlaku pertengkaran mulut antara kami.
“Dalam masa yang sama saya lihat dia turut menghubungi seseorang,” katanya.
Menurutnya, beberapa minit berlaku pertengkaran mulut, tiba-tiba muncul kira-kira sembilan lelaki menaiki motosikal dipercayai rakan lelaki terbabit sambil memegang kayu dan besi.
“Mereka terus menyerang tanpa sempat kami mempertahankan diri.
“Kami dipukul bertubi-tubi hingga masing-masing rebah,” katanya.
Katanya, beberapa kali dia dan anak buahnya cuba melarikan diri untuk mendapatkan bantuan orang ramai dan anggota polis yang bertugas di pondok (payung) berdekatan namun gagal.
“Kejadian berlangsung beberapa puluh minit sehinggalah anggota polis tiba dan meleraikan kejadian.
“Serentak polis tiba, kesemua lelaki itu segera melarikan diri,” katanya.
Irman berkata, sebaik keadaan kembali tenang, dia dan anak saudaranya menerangkan kejadian sebenar kepada polis dan mereka kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
“Berikutan kejadian itu, kepala saya turut menerima 10 jahitan serta mengalami kesan calar dan lenguh di seluruh badan,” katanya.
Katanya, ini adalah kejadian ngeri pertama kali dialaminya.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang membelasah kami.
“Jika tidak, saya khuatir kejadian sama akan berulang kepada mangsa lain dan saya percaya lelaki terbabit dan rakannya adalah kumpulan samseng di daerah ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment