loading...
Thursday, August 11, 2011
Lori Rempuh Tiang Elektirk Elak Motosikal
KAMPUNG BUKIT DIMAN - Gara-gara mengelak sebuah motosikal yang secara tiba-tiba melintasi jalan dari arah kaki lima kanan jalan, seorang pemandu dan kelindan lori menghadapi detik mencemaskan apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik, di Kilometer (KM) 35 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, kelmarin.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, kelindan lori terbabit, Nor Hamizan Husin, 42, dari Kampung Batang Gergaji, Besut dan pemandu yang hanya dikenali sebagai Razali, 45, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaan dinaiki mereka remuk pada bahagian hadapan.
Difahamkan, sebelum itu, terdapat seorang penunggang motosikal di kaki lima jalan sebelah kanan berhampiran sebuah kedai runcit dan sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba dia dikatakan melintas menyebabkan lori dari arah Ajil-Bukit Besi yang membawa muatan berisi sayur-sayuran itu terpaksa mengelak, menyebabkan ia terbabas.
Menceritakan detik mencemaskan itu, Nor Hamizan berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan tanpa sedar, lori dinaikinya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan itu sudah pun merempuh tiang elektrik sehingga patah dua serta terbalik.
“Tidak dapat digambarkan perasaan saya sewaktu kejadian itu selain turut terfikir lori akan terbalik, namun syukur tiada sebarang kecederaan yang kami alami. Kami juga bersyukur kerana tidak kena serpihan kaca.
“Jika kami tidak mengelak, mungkin kemalangan akan menjadi lebih serius termasuklah turut merempuh penunggang motosikal tersebut ataupun lori terbalik, apatah lagi sering berlaku lori biasanya akan terbalik kalau terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Menurutnya, sejak melalui laluan itu kira-kira enam tahun lalu sebagai pemborong untuk menghantar sayur-sayuran kepada pelanggan di Kuantan, ini kejadian pertama dialaminya dan biarpun tidak serius, tetapi ia benar-benar mencemaskannya.
“Saya bertolak dari Kota Bharu selepas selesai mengambil sayur-sayuran di pasar borong di sana selepas solat Subuh dan sepatutnya akan sampai di Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari, tetapi hari ini pastinya kami akan sampai lewat petang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian petang kelmarin.
Menurutnya, dalam tempoh seminggu, sebanyak dua kali dia akan berulang-alik dari Kuantan ke Kota Bharu untuk mengambil bekalan sayur-sayuran untuk pasaran sekitar bandar Kuantan dan dia juga kini menetap di Kuantan, Pahang.
Sumber: SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment