ALOR GAJAH - Niat seorang lelaki turun dari kereta untuk membantu mangsa kemalangan selepas dia merempuh sebuah motosikal dinaiki empat sekeluarga terbantut apabila dia dipukul sekumpulan remaja di Jalan Lubok Redan - Paya Mengkuang, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, Muhammad Irfan Abdullah, 29, memandu kereta jenis Perodua Viva berseorangan dari arah Kuala Sungai Baru menuju ke Paya Mengkuang merempuh sebuah motosikal yang membelok masuk ke simpang sebelah kanan.
Difahamkan motosikal jenis Honda EX5 dinaiki, Anuar Mohd Yusof, 45, bersama isteri, Masni Abd Ghani, 35, dan dua anak, Hakimi Adib, 7, dan Siti Humairah, 19 bulan, dari arah Paya Mengkuah dalam perjalanan ke rumah mereka.
Ketika kejadian, Anuar yang menunggang motosikal dikatakan sudah memberi lampu isyarat ke sebelah kanan untuk membelok.
Muhammad Irfan berkata, dia dalam perjalanan pulang ke tempatnya di Kem Terendak, Tanjung Bidara selepas mengisi minyak di pekan berkenaan dan gagal mengawal kenderaan sebaik melihat motosikal terbabit membelok ke simpang sebelah kanan.
Menurutnya, dia terpaksa merempuh motosikal itu sehingga terseret kira-kira 10 meter.
“Saya terus memberhentikan kereta dan turun membantu mereka. Namun, tiba-tiba saya ditumbuk seorang lelaki sebelum datang lagi beberapa lelaki lain yang turut memukul saya sehingga mengalami kecederaan di badan dan muka.
“Mujur ada sebuah kereta berhenti dan membantu saya dari terus dipukul sementara ada penduduk di situ membantu menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan laporan kemalangan membabitkan empat sekeluarga yang patah kaki dan tangan serta mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.
“Manakala kes membabitkan anggota tentera yang dipukul ketika cuba membantu mangsa terbabit kemalangan memang agak keterlaluan dan pihak polis akan menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan kes jenayah,” katanya.
Sumber: SH
No comments:
Post a Comment