loading...

Monday, May 23, 2011

Volvo Terjun Longkang Besar


UKAY PERDANA - Seorang cedera parah manakala lima cedera ringan apabila kenderaan yang dinaiki menjunam ke dalam longkang besar di Jalan Kelab Ukay 6, di sini malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.55 malam itu, sebuah lori sampah yang sedang menuruni bukit dari Ukay Perdana bertembung dengan sebuah kereta Volvo dan kedua-dua kenderaan terbabit menjunam ke dalam longkang besar sedalam 20 meter.

Saksi kejadian, Mohd Fuad Dahaman, 46, berkata, dia ternampak sebuah lori sampah yang sedang laju menuruni bukit ketika dia sedang membelok dari simpang Taman Bukit Mulia.

Menurutnya, dalam keadaan jalan basah kerana baru hujan, lori itu dilihatnya hilang kawalan sebaik menghampiri persimpangan lampu isyarat Bukit Antarabangsa yang kebetulan bertukar lampu merah.

“Bagi mengelak tiga kenderaan yang sudah berhenti di lampu isyarat itu, lori terbabit melencong ke kiri laluan.

“Pada waktu itu juga, sebuah kereta Volvo sedang memasuki simpang terbabit dan lori yang dipercayai menghadapi masalah brek bertembung kereta tersebut serta melanggar pengadang dan terjunam ke dalam longkang,” katanya.

Seorang lagi saksi, Azam Azman, 36, berkata, kejadian itu adalah kali kedua berlaku di lokasi sama.

“Sebelum ini sebuah lori pasir juga pernah menjunam ke dalam longkang itu dan sememangnya persimpangan lampu isyarat terbabit sangat bahaya terutama sekali kenderaan yang berhenti dari Bukit Antarabangsa.

“Ini kerana kebanyakan kenderaan dari Ukay Perdana menurun laju sebelum sampai di persimpangan lampu isyarat ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Mohd Zin Yaakob berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Ampang dan seorang penumpang wanita yang menaiki kereta Volvo cedera parah.

“Mangsa yang menaiki lori terdiri daripada tiga warga asing Bangladesh dan seorang India.

“Pihak kami menerima panggilan kejadian pada jam 12.10 pagi dan tiba di lokasi pada jam 12.21 pagi,” katanya.

Jabatan Pertahanan Awam Semarak turut datang untuk memberikan bantuan. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my