loading...
Wednesday, May 18, 2011
Penunggang Maut Terseret
KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal terbunuh manakala pemandu kereta cedera parah dan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 25, Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah Damansara, jam 3 petang semalam.
Kam Yoke Wai, 36, dari Taman Lembah Maju mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas motosikalnya dirempuh kereta sebelum diseret sejauh beberapa meter.
Menurut sumber polis, kereta dipandu seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri lebuh raya dan merempuh motosikal mangsa.
Katanya, kereta yang dipercayai dipandu laju itu dilaporkan terhumban ke tepi jalan sebelum merempuh sebatang pokok berhampiran tempat kejadian.
Bumbung kereta itu remuk menyebabkan pemandunya tersepit di tempat duduk, namun berjaya dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, katanya.
Mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Sumber : Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment