loading...

Thursday, May 19, 2011

Berpantang maut

KUANTAN – Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan berat sarat muatan kayu yang dipandunya terbalik di persimpangan Jalan Kuantan-Pelabuhan, dekat Sungai Ular, di sini, semalam.

Menurut mangsa, Nuzuamry Abdullah, 42, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dia dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, gagal mengawal kenderaan berat yang dipandunya ketika mengelak sebuah kereta yang cuba memintasnya.

Nuzuamry yang menetap di Gong Badak, Terengganu, berkata kereta yang tiba-tiba memotongnya cuba untuk masuk semula laluan di sebelah kiri kerana hendak keluar ke simpang yang berada tidak jauh di depan.

“Keretanya seakan-akan menghimpit lori saya ketika hendak memasuki semula laluan menyebabkan saya terpaksa memulas stereng ke sebelah kiri bagi mengelak daripada melanggarnya.

“Akibat tindakan itu, treler saya terbalik dengan muatan kayu yang dibawa bertaburan di atas jalan dan treler juga mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, dia tidak mengalami sebarang kecederaan parah sebaliknya hanya sakit pada dada dan pemeriksaan yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, mengesahkan kesakitan itu tidak serius.

“Syukur nyawa saya masih panjang. Melihatkan keadaan lori yang terbalik, mungkin ramai yang menyangka saya sudah mati.

“Sepatutnya saya ke Kuala Lumpur bersama seorang lagi rakan, namun rakan saya itu tiba-tiba demam dan menyebabkan saya terpaksa memandu bersendirian.

Mungkin ada hikmahnya dia tidak mengikut saya,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut masih dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my