loading...

Monday, March 28, 2011

Sempat Mohon Maaf pada Ibu Sebelum Ajal

sambungan entri Berita Dari Akhbar 27 Mac 2011 , " Langgar lari: Dua pelajar sekolah maut"


KANGAR: “Pada malam kejadian, arwah beritahu bapa itu kali terakhir dia membawa motosikal dan mahu bapa menghantarnya ke mana-mana selepas ini,” kata Sharizal Kassim, 28, abang Mohd Hafizi, 17, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Sanglang berhampiran simpang Sungai Padang, dekat sini, malam Jumaat lalu.


Turut maut dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu ialah rakan mangsa yang membonceng motosikal berkenaan, Mohd Shawal Shahabudin, 17, selepas dirempuh dan digilis sebuah lori simen.

Sharizal dari Sanglang, dekat sini, ketika ditemui berkata, adiknya yang parah daripada pinggang ke bawah dan patah tangan kanan akibat digilis lori simen terbabit meninggal dunia di Hospital Tunku Fauziah (HTF), di sini, pada jam 12.40 malam kelmarin.

Katanya, walaupun parah dan kehilangan banyak darah, adik bongsunya itu masih mampu berkata-kata dan meminta maaf kepadanya serta ibu bapa mereka iaitu Kassim Yahya, 70, dan Che Amah Ismail, 68, ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sharizal berkata, sebaik dimaklum kejadian itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan hampir tumbang apabila melihat adiknya yang parah dengan cebisan daging bertaburan di atas jalan raya, manakala Mohd Shawal sudah tidak bernyawa.

Dalam pada itu, bapa Mohd Shawal, Shahabudin Mohd Noor, 40, berkata, ketika kejadian dia berada di Pulau Pinang sebelum dimaklumkan kejadian berkenaan oleh isterinya.

Katanya, dua hari sebelum kejadian anaknya itu memberitahu ibunya dia ingin dikebumikan di sebelah datuknya jika dia meninggal dunia.

“Saya tidak menyangka itu permintaan terakhirnya. Anak sulung saya itu juga pernah meminta untuk memakai baju Melayu yang digemarinya sebelum kejadian dengan memberi alasan tidak dapat memakainya lagi,” katanya.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa menaiki motosikal dan dalam perjalanan dari Kampung Batas Pauh ke rumah Mohd Hafizi di Sanglang, dekat sini.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori simen yang membuat pusingan U merempuh motosikal sebelum mereka tercampak ke bawah lori sebelum kedua-duanya digilis lori terbabit.

Difahamkan, pemandu lori terbabit yang juga penduduk berdekatan melarikan diri.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Rosli Yahaya ketika dihubungi, berkata kemalangan itu diklasifikasikan sebagai kes langgar lari.

Katanya, kedua-dua mangsa pelajar di sekolah menengah di Simpang Empat itu dipercayai dilanggar dari belakang. “Lokasi terbabit berbahaya dan gelap pada waktu malam, tambahan ketika itu hujan lebat dan mengehadkan jarak penglihatan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan,” katanya.

Menurutnya, sehingga semalam, pemandu lori terbabit belum membuat laporan dan polis masih memburunya. Katanya, saksi yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi 04-9778563.

myMetro
28 Mac 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my