KLANG - “Walaupun Ayoi tiada lagi, makcik tetap akan menyayangi tunangnya, Siti Aziah seperti anak makcik sendiri walaupun mereka belum disatukan..tambahan pula dia anak yatim piatu,” Demikian luahan Asiah Mahmud, 63, ibu kepada Ahmad Khairul Anwar Nan, 26, maut selepas kereta yang dipandu gagal dikawal lalu merempuh dua batang pokok di Batu 4, Jalan Kapar, di sini malam kelmarin.
Asiah berkata, anak bongsunya berhasrat untuk mendirikan rumah tangga bersama Siti Aziah dijangka penghujung tahun ini.
“Oleh itu, sebahagian gajinya disimpan sebagai persediaan perkahwinan dan untuk tujuan itu juga, dia sanggup bekerja sampai ke malam mencari duit lebih.
“Bagi menunaikan hasratnya, makcik sempat belikan dia barang-barang hantaran kahwin, pakaian yang bakal dipakai pada hari perkahwinannya, pakaian keluarga dan juga beberapa peralatan lain di Sarawak dan Brunei ketika berada di sana sebelum kejadian menimpa Ayoi,” katanya.
Menurutnya, impian mereka untuk disatukan tidak kesampaian kerana ajal dan maut telah memisahkan mereka.
“Kali terakhir makcik jumpa arwah pada 3 Mac lalu ketika dia hantar makcik ke lapangan terbang LCCT untuk ke Sarawak. Malah dia sempat menghubungi makcik dan asyik bercerita mengenai persiapan kahwinnya.
“Pada malam kejadian, makcik rasa tidak sedap hati hingga tak dapat lelapkan mata. Apatah lagi sebaik melihat berita bencana Tsunami Jepun di kaca televisyen. Pada saat itu perasaan gundah gulana semakin bermain-main dalam fikiran,” katanya.
No comments:
Post a Comment