Empat Bakal Guru Maut Dalam Nahas
IPOH - Empat penuntut Institut Perg:uruan Sultan Mizan, Besut, Terengganu terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Kilometer 12 Lebuh Raya Timur Barat dekat Gerik semalam.
Mangsa yang maut ialah Joseph Phuah, 19, dari Sungai Bakap, Pulau Pinang; Yap Sin Wei, 20, dari Seberang Perai, Pulau Pinang; Goh Shu Win, 19, dari Butterworth, Pulau Pinang dan M Iniyan, 19 dari Taiping.
Ketua Polis Trafik Perak, Superintendan Abdullah Ishak berkata, dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu, Sin Wei dan Iniyan mati di tempat kejadian, manakala Phuah mati di Hospital Gerik pada jam 8 malam tadi dan Shu Win di Hospital Taiping pada jam 5 pagi tadi.
“Keempat-empat mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi, semalam.
Wan Abdullah berkata, ketika kejadian kereta jenis Proton Iswara yang dipandu Phuah dipercayai gagal dikawal ketika melalui selekoh dan menuruni bukit lalu terbabas ke kanan jalan dan dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Camry dari arah bertentangan.
Katanya, anggota Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan keempat-empat mangsa yang tersepit dalam kereta itu.
Beliau berkata, pemandu kereta Toyota Camry cedera ringan dan dirawat di Hospital Gerik.
Bapa Shu Win, Goh Kong Huaw, 48, ketika ditemui di Hospital Taiping berkata, kejadian itu diketahui apabila beliau dihubungi melalui telefon oleh rakan anaknya yang menaiki sebuah kereta lain.
Kong Huaw yang bekerja di Johor Baharu kemudian bergegas ke Taiping untuk menuntut mayat anaknya.
Katanya, sebelum itu, anaknya menghubunginya semalam, mengatakan hendak pulang kerana bercuti. - Bernama
No comments:
Post a Comment