loading...
Tuesday, February 12, 2013
Pemandu terbabas Penunggang maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
12 Februari 2013
BINJUL - Seorang lelaki maut dalam kemalangan di Kilometer 31.5, Jalan Sungai Petani Baling kira-kira jam 9 pagi di sini, semalam.
Mangsa, Sudin Mehat, 60, dari Kampung Kubang Besar, Mukin Tualang, Pokok Sena terhumban ke dalam parit selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Ketil ke Baling manakala pemandu kereta terbabit dari arah bertentangan.
Menurutnya, pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan seterusnya memasuki laluan bertentangan sehingga merempuh mangsa.
“Mangsa tercampak beberapa meter dari tempat kejadian dan ditemui di dalam parit berdekatan jalan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dan meninggal dunia tempat kejadian, sementara pemandu kereta terbabit selamat dan kini mendapat mendapat rawatan di Hospital Baling.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari rumah isterinya di Sungai Petani sebelum kejadian itu.
Mangsa yang mempunyai dua anak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
Mat Daud berkata, kes akan disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu sehingga mengakibatkan kematian.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/penunggang-maut-dirempuh-1.130421
Monday, February 11, 2013
Lelaki maut kereta bertembung
Inalillahi wainailaihi rojiun
11 Februari 2013
RAUB – Seorang penumpang kereta Perodua Kelisa maut selepas kenderaan dinaikinya itu bertembung dengan kereta Proton Waja dalam kemalangan di Kilometer 331 Jalan Raub–Lipis, berhampiran Kampung Jeruas, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Kelisa dipandu Irfan Faidh Muhamad Shukri, 20, dari arah Raub, cuba memotong kenderaan lain.
Bagaimanapun katanya, Irfan Faidh dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu bertembung dengan Proton Waja dari arah bertentangan.
“Kejadian sekitar jam 7.40 pagi itu mengakibatkan Muhammad Ridzuan Kamaruzzaman, 20, yang beralamat di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian.
Wan Mohd Samsudin berkata, Irfan Faidh yang berasal di Ketereh, Kelantan pula mengalami kecederaan di kepala.
Katanya, pemandu Proton Waja bersama isteri dan dua anaknya pula menerima rawatan di Hospital Lipis.
“Ketika kejadian, keadaan jalan berselekoh dan permukaan sedikit basah akibat hujan renyai.
“Sehubungan itu, kita harap orang ramai dapat mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati ketika cuaca kurang baik untuk mengelak kecelakaan terutama pada musim perayaan,” katanya.
Beliau juga berharap masyarakat setempat dapat memanfaatkan talian polis 09-3554999 untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan dan keamanan kawasan tempat tinggal masing-masing.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/lelaki-maut-kereta-bertembung-1.130103
Subscribe to:
Posts (Atom)





