loading...

Wednesday, April 6, 2011

Maut Berhampiran di Terowong Menora


 Pemandu Maut Rempuh Treler

KUALA KANGSAR –Seorang pemandu lori maut dalam satu kemalangan membabitkan lori dan sebuah treler di kilometer 256.1 Lebuh raya Utara Selatan, berhampiran terowong Menora, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.35 malam itu. mangsa, Ong Kim Wooi, 46, mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, lori yang dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke utara hilang kawalan sebelum merepuh bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan tiang simen cerucuk.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang ketika itu dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, pemandu treler, seorang lelaki berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Gaffar berkata berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Taman Perling, Johor Bahru itu telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mereka yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


Melekat di Belakang Treler


KUALA KANGSAR : Seorang pemandu lori maut apabila lori dipandunya merempuh lalu ‘melekat’ di belakang sebuah treler membawa muatan tiang simen cerucuk dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 256.1, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran terowong Menora, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 malam, Ong Kim Wooi, 46, parah di seluruh anggota tubuhnya dan gagal dikeluarkan orang ramai berikutan tersepit dalam kenderaan terbabit.


Difahamkan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa lebih satu jam untuk memotong komponen kepala lori yang remuk bagi mengeluarkan mayat mangsa. Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa maut akibat cedera parah dalam kemalangan itu.

“Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 malam kelmarin, lori dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang berada di hadapan lorong sama.


“Pelanggaran kuat itu menyebabkan mangsa dari Taman Perling, Johor Bahru itu maut di tempat kejadian.


Bagaimanapun, katanya, pemandu treler iaitu seorang lelaki India berusia 47 tahun tidak cedera dan kemalangan itu tidak membabitkan mangsa lain.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.


Difahamkan, mayat mangsa dituntut waris kira-kira jam 6 petang semalam.

Sumber: mymetro





Teringat pula cerita hantu kereta walkswagon kuning di Terowong Menora, Kuala Kangsar, Perak yang tiada pemandu. Kisah ini memang terkenal kerana ianya selalu mengganggu pengguna lebuhraya utara-selatan yang melalui kawasan itu di tengah malam.

Monday, April 4, 2011

Proton Rempuh Kedai Makan


MENGLEMBU – Seorang tauke kedai makan tergamam apabila premisnya dirempuh sebuah kereta jenis Toyota di kawasan Perindustrian Menglembu di sini, pagi semalam.

Premis makanan yang terkenal dalam kalangan pekerja di kawasan perindustrian itu terletak berhampiran kilang papan dan berhadapan dengan Pusat Jualan dan Servis Proton Edar.

Sinar Harian difahamkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu kereta yang juga seorang warga emas gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu merempuh premis berkenaan.

Kejadian berlaku apabila sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian belakang kereta itu.

Pemandu kereta berusia dalam lingkungan 70-an itu dalam perjalanan dari Ipoh ke Menglembu bersama dua yang lain sebelum terbabas dan merempuh kedai makan.

Akibat terlalu panik dan terkejut, pemandu warga emas itu terus merempuh kedai makan yang berada di bahagian kanan jalan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku namun penunggang motosikal dipercayai mengalami kecederaan ringan dan sudah dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Pemiliknya, Ng Chee Keong, 53, dan isteri pada ketika itu sedang sibuk melayan pelanggan yang sedang menjamu sarapan pagi.

“Saya dan isteri berada di belakang kedai ketika kejadian. Tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman kuat dalam kedai.

“Selepas mendengar bunyi itu, saya segera ke bahagian tepi kedai dan mendapati sebuah kereta Toyota lama tersadai di bahagian dalam premis,” katanya.

Chee Keong berkata, dia kerugian kira-kira RM10,000 kerana terdapat pelbagai peralatan dan perabot di kedainya rosak akibat rempuhan itu.

“Walaupun berdepan kerugian, kami bernasib baik kerana tidak ada pelanggan yang cedera dalam kejadian ini. Namun, kami terpaksa mengambil masa membaik pulih kedai bagi kerja-kerja pembaikan supaya perniagaan boleh berjalan seperti sediakala,” katanya.

 Sumber: Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my