loading...
Saturday, November 16, 2013
Maut setelah ziarah saudara meninggal
Inalillahi wainailaihi rojiun
17 November 2013
Kuala Pilah: Dua warga emas yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Gombak, Selangor selepas menziarahi seorang saudara yang meninggal di Kampung Terusan Seberang, di sini, maut apabila kereta dinaiki mereka dirempuh lori dari arah belakang di Kilometer (KM) 24.5, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di Terachi, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, Hussain Abu, 76, dan isterinya Hasnah Ahmad, 68, mengalami pendarahan serius di kepala dan badan sebelum meninggal dunia jam 5.30 petang di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
Pemandu kereta, Nurshaheera Zainurin, 21, yang juga cucu dan anak mangsa, Sofia, 48, hanya cedera ringan.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, kedua-dua mangsa bersama anak cucunya datang ke kampung terbabit, Selasa lalu, untuk menziarahi seorang saudara yang meninggal dunia.
“Kira-kira jam 3 petang semalam (kelmarin) mangsa menyatakan hasrat mahu pulang ke Gombak biarpun kami menghalang dan memintanya bermalam di sini.
“Namun, mereka menolak dan meneruskan perjalanan sebelum kami dihubungi dan dimaklumkan mengenai kemalangan itu,” katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kepis, Juasseh, di sini, semalam.
Saksi kemalangan yang hanya ingin dikenali Razali, 40-an, berkata, sebelum kejadian, keempat-empat mangsa dilihat menaiki kereta jenis Perodua Kelisa dan dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke Seremban.
“Bagaimanapun, tiba-tiba pemandunya (Nurshaheera) membuat pusingan U untuk ke sebuah kedai di tepi jalan, menyebabkan sebuah lori dari arah Seremban merempuh belakang kenderaan itu,” katanya.
Katanya, akibat rempuhan lori berkenaan, dua warga emas itu yang berada di tempat duduk belakang cedera parah. Bagaimanapun, pemandu lori tidak cedera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ajalbalikziarahsaudarameninggal/MA/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment