9 Oktober 2013
KUALA SELANGOR - Tiga anggota polis nyaris maut dalam perjalanan ke Padang Tembak Bukit Jeram apabila kereta peronda yang dipandu berlanggar dengan sebuah kereta di KM41 Jalan Teluk Intan-Klang di persimpangan Assam Jawa, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, tiga anggota polis dari Balai Polis Sungai Besar dalam perjalanan untuk menjalani latihan menembak di Bukit Jeram sebelum dikatakan gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Viva yang keluar dari simpang.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Cif Inspektor Roslan Ismail berkata, pegawai dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam.
“Siasatan awal yang dijalankan pegawai penyiasat trafik mendapati, lampu isyarat di laluan dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang ketika kejadian tidak berfungsi. Ketika itu keadaan jalan tidak licin dan cuaca tidak hujan.
“Ketika kejadian, pemandu kereta peronda polis terbabit melihat kenderaan di sebelah kiri iaitu dari arah Ijok sudah berhenti dan mereka meneruskan perjalanan bagaimanapun sebuah kereta yang dipandu seorang perempuan keluar dari simpang itu secara tiba-tiba,” katanya.
Roslan menjelaskan, berlaku pelanggaran di bahagian kanan kereta Perodua Viva terbabit sehingga menyebabkan kereta peronda terbabas dan melanggar lampu isyarat di hadapan manakala kereta
Perodua Viva itu pula terbabas ke bahu jalan sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Ketiga-tiga anggota polis terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan teruk manakala perempuan berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.
“Kes masih disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana individu atau saksi yang menyaksikan kejadian kemalangan terbabit diminta supaya tampil untuk membantu melancarkan siasatan polis,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Sarifudin Md Yusof berkata, keadaan jalan di persimpangan itu perlu diberi perhatian pihak berwajib bagi menggelakkan kejadian sama berulang.
“Penduduk berpendapat, jalan di kawasan ini wajar di selenggara dengan baik memandangkan warna cat putih dan kuning sudah mulai pudar. Lampu isyarat dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang difahamkan rosak.
Oleh itu, keadaan sebeini perlu diambil perhatian kerana boleh mengundang bahaya," katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tiga-anggota-polis-nyaris-maut-1.209879
No comments:
Post a Comment