loading...

Wednesday, October 9, 2013

Pengawal keselamatan TNB Gemencheh maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Oktober 2013
TAMPIN – "Sehari sebelum kejadian, saya sempat bergurau dengan arwah yang dia tidak sudi melihat wajah saya lagi kerana asyik termenung di belakang rumah."

Demikian cerita isteri mangsa kemalangan maut, Rozita Mohamad Arshad, 30, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini.

Malah menurut Rozita, gelagat anak tunggal mereka, Adam Muhammad Iqhlas Al-Hafiz, 2 tahun, yang sering meragam sejak akhir-akhir ini seolah-olah bakal kehilangan orang tersayang.

"Semasa bergurau, dia (arwah) hanya cakap ambil angin dan ketika itu saya tidak terfikir benda bukan-bukan. Tak sangka ia petanda yang arwah akan pergi meninggalkan kami selamanya.

"Namun, apa yang saya khuatir sekarang ialah saya gagal menghubungi ahli keluarga suami saya untuk memaklumkan perkara ini,” katanya.

Rozita berkata, selepas ibu dan bapa arwah suaminya bercerai, arwah sudah menetap bersama datuk sebelah bapa arwah di Batu Kurau, Taiping, Perak dan dia hanya rapat dengan seorang kakak kandungnya, Rosmalidawati Ahmad, 37, yang menetap di Chemor.

“Hanya dengan kakak kandungnya sahaja arwah masih berhubungan. Malah, sebelum ini arwah ada memberitahu keinginannya untuk membawa saya dan anak berjumpa kakaknya serta ibunya yang berada di Yan, Kedah sekiranya mempunyai kereta.

“Namun, ia hanya tinggal perancangan sahaja. Saya juga gagal hubungi kakak ipar saya melalui nombor telefon yang terdapat dalam simpanan arwah. Oleh itu, saya harap sekiranya mereka terbaca berita ini mereka akan dapat menghubungi saya kembali.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Zainarul Hisham Ahmad, 36, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pusat Kutipan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Gemencheh, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 40, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kemalangan berkenaan membabitkan motosikal ditunggangi mangsa yang datang dari arah Gemas mangsa dan lori tiga tan dari arah Tampin.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori tiga tan yang dipandu seorang orang kurang upaya (OKU) tangan berusia 33 tahun masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal dipandu mangsa.

“Mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan serta disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa di bawa ke HT untuk proses bedah siasat.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pengawal-keselamatan-maut-nahas-1.209917



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my