loading...

Thursday, September 19, 2013

Tiga sekeluarga cedera rempuh treler


19 September 2013
PASIR PUTEH - Tiga sekeluarga cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh belakang treler yang diparkir di bahu jalan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Gaal dekat sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, kereta jenis Proton Iswara milik mangsa dari arah Jerteh dikatakan mengelak lembu yang dilanggar kereta lain.

Pemandu kereta, Aminuddin Ismail, 47, cedera di muka dan kaki, manakala isterinya, Tuan Rabiah Raja Awang, 44, patah kaki kanan dan cedera di muka.

Mentuanya, Ramlah Tubin, 68, hanya cedera ringan di muka. Bagaimanapun anak Aminuddin, Nik Istihad Baihaki, 6, bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 11.50 malam.

Menurutnya, ketika bomba tiba di tempat kejadian, Aminuddin dan isterinya tersepit di tempat duduk hadapan kerana kereta terperosok di bawah treler.

“Kita menggunakan peralatan Power Unit untuk memotong bahagian kereta bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa. Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa tersepit.

“Manakala, Ramlah dan Nik Istihad berada di luar kereta dan ditenangkan orang ramai,” katanya yang ke lokasi kejadian bersama empat lagi anggota.

Saksi kejadian, Mohd Shahrul Nizam Mohd Shahadan, 46, berkata, dia sempat melihat kereta jenis Proton Waja melanggar lembu yang melintas jalan ketika dia berada pada jarak 30 meter dari tempat kejadian.

“Saya memandu menghala ke Jerteh, tiba-tiba saya ternampak sebuah kereta terhuyung-hayang, lembu yang dilanggar mati dan berada di tengah jalan menyebabkan beberapa kereta dari Jerteh cuba mengelaknya.

“Dalam kekalutan itu, saya terdengar dentuman kuat. Saya dapati sebuah kereta remuk teruk kerana melanggar belakang treler,” katanya sambil memberitahu dia bersama beberapa penduduk cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit tetapi gagal.

Katanya, dia sering menggunakan laluan berkenaan dan sudah beberapa kali terpaksa brek mengejut gara-gara lembu berkeliaran melintas jalan.

Mohd Shahrul Nizam berkata, dia diberitahu rakan mengenai kemalangan lain di mana sebuah lori kecil melanggar lembu berhampiran jambatan di Kampung Tok Nik yang mana jaraknya hanya dua kilometer dari lokasi pertama dan hanya berlaku kira-kira 25 minit selepas kemalangan itu.

“Kawasan ini terlalu banyak lembu berkeliaran. Saya kesal dengan pemilik haiwan yang membiarkan sahaja lembu berkeliaran sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/3-cedera-kereta-rempuh-treler-1.203236



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my