Inalillahi wainailaihi rojiun
21 September 2013
BANDAR CHENEH BARU - Seorang jurujual produk kosmetik yang juga ibu tunggal tiga anak maut, sementara rakannya parah dalam satu kemalangan di Kilometer 153.7 Jalan Jerangau - Jabor berhampiran Balai Pemeriksaan Hutan Cheneh Baru, dekat sini, malam kelmarin.
Mangsa, Asbalela Kamarudin, 34, berasal dari Kampung Wakaf Ajik, Tawang, Bachok, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa bersama rakannya, Normasliza Makhtar yang beralamat di Flat Buluh Kubu, Kota Bharu, dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kuantan, Pahang.
Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori treler membawa muatan batu bijih yang diletakkan di bahu jalan.
Berikutan itu, kedua-dua mereka tersepit di tempat duduk masing-masing dan Asbalela yang mengalami kecederaan parah di leher maut di tempat kejadian.
Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Cheneh Baru mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
Sementara itu, majikan Asbalela yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia berjumpa mangsa pada Ahad lalu.
Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda atau kelakuan pelik.
“Kali terakhir saya menghubunginya pada jam 8 malam bertanyakan lokasinya dan dia memaklumkan berada di sekitar Air Putih, Kemaman.
“Namun sekitar jam 8.30 malam saya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mereka berdua terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu dan menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat sementara rakannya yang mengalami kecederaan parah turut dirawat di hospital sama.
Al- Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/ibu-tunggal-tiga-anak-maut-1.204155
No comments:
Post a Comment