loading...
Wednesday, January 2, 2013
Peniaga bihun sup maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
2 Januari 2013
YAN - Seorang peniaga bihun sup maut setelah keretanya terbabas lalu merempuh pokok sehingga terputus dua sebelum bahagian depan terjunam ke dalam Terusan Wan Mat Saman di Bukit Besar di sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam di Batu 11, Jalan Sungai Petani-Kota Setar ketika mangsa, Mohammad Syawal Ismail, 23, memandu kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Kota Sarang Semut dari arah Gurun.
Mangsa maut di tempat kejadian disebabkan mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di tepi jalan.
“Akibat rempuhan kuat, kereta terputus dua dan mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu terjunam ke dalam terusan bersama separuh badan kereta manakala bahagian belakang kereta tersangkut pada pokok.
“Jarak antara bahagian belakang kereta yang terputus dengan bahagian depan kira-kira 15 meter,” katanya.
Ismail berkata, kereta itu dipercayai dipandu laju dan kemungkinan terbabas disebabkan permukaan jalan licin kerana kejadian berlaku ketika hujan.
“Kita juga akan menghantarnya ke Puspakom untuk mengenal pasti sama ada ia adalah kereta potong atau tidak,” katanya.
Sementara itu, ibu tiri mangsa, Nazila Ariffin, 30, berkata, Mohammad Syawal menunjukkan tanda pelik apabila tidak mahu membantu berniaga bihun sup seperti biasa di pasar pagi Pekan Jeniang awal pagi kelmarin.
“Kebiasaannya arwah rajin membantu ayahnya berniaga di mana-mana pasar pagi tetapi semalam (kelmarin) enggan berbuat demikian.
“Namun saya tidak berfikir perkara buruk kerana menyangka mungkin disebabkan adik-adiknya yang selama ini membantu berniaga sudah mula bersekolah menyebabkannya tidak mahu membuka gerai kerana terpaksa menguruskan perniagaan seorang diri,” katanya.
Nazila berkata, walaupun Mohammad Syawal hanya anak tiri namun hubungan mereka rapat terutama dengan anak bongsunya kerana mereka tinggal bersama dan arwah seorang yang sangat peramah.
Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Sarang Semut kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/peniaga-bihun-sup-maut-1.117217
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment