loading...
Thursday, January 3, 2013
Pelajar Kolej Perubatan Ulu Kinta maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
3 Januari 2013
GUNUNG SEMANGGOL - Kemalangan ngeri membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 187.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan), awal pagi semalam, menguburkan hasrat seorang pelajar perubatan yang maut dalam kejadian berkenaan.
Mangsa, Mohd Kifli Madlan, 21 merupakan pelajar tahun akhir Diploma Perubatan, sedang dalam perjalanan untuk melaporkan diri ke Kolej Perubatan Ulu Kinta ketika terbabit dalam kejadian pada 6.15 pagi itu.
Lebih memilukan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan dengan tangan kirinya putus dan sebahagian besar kaki kanannya terbakar selepas mangsa bersama motosikal yang dinaikinya di langgar serta digilis MPV terbabit.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Kechil Ulu, Bandar Baharu, Kedah ke tempat pengajiannya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC.
Menurut beliau, ketika tiba di tempat kejadian, sebuah motosikal dari jenis sama yang dinaiki seorang lelaki (belum dikenal pasti identiti) dikatakan hilang kawalan lalu terbabas di laluan kecemasan.
"Mangsa yang berada di belakang motosikal terbabit, cuba mengelak dan akhirnya turut hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan (lorong laju).
"Nasib mangsa tidak begitu baik apabila dia bersama motosikalnya digilis oleh MPV jenis Ssanyong yang kebetulan sedang memandu di laluan berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Mat Fauzi menambah, kejadian telah menyebabkan tangan kiri mangsa putus sehingga paras lengan manakala kaki mangsa melecur teruk setelah motosikal yang ditunggangnya terbakar.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan punca kebakaran motosikal disebabkan percikan api kerana pergeseran setelah motosikal berkenaan dilanggar MPV terbabit.
"Pemandu MPV yang ditemui memaklumkan, dia terlihat sebuah objek di tengah lebuh raya semasa kejadian, tetapi tidak sempat mengelak kerana jaraknya terlalu dekat.
"Tambahan, keadaan masih gelap pada masa itu dan pemandu terbabit memaklumkan MPV yang dipandunya tidak mampu meneruskan perjalanan selepas satu KM meninggalkan tempat kejadian akibat kerosakan," katanya.
Menurut Mat Fauzi, kebakaran motosikal dapat dikawal oleh anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kamunting yang bergegas ke lokasi kejadian.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, manakala seorang lagi penunggang motosikal dilaporkan cedera parah dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.
"Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian," katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/lapor-diri-terakhir-1.117639
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment