loading...

Thursday, August 30, 2012

Koma rempuh kerbau


30 Ogos 2012
 ALOR GAJAH - "Apabila saya berpatah balik selepas mendengar dentuman kuat, saya lihat Adi sudah rebah atas jalan raya."

Itu luahan hati Mohd Razi Azmi, 20, yang melihat kejadian Adi Sabri Zulkefli, 21, kemalangan selepas mengelak sekumpulan kerbau melintas di Jalan Sungai Ragut, Ayer Paabas, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Padang Besar, Ayer Paabas, di sini, selepas keluar makan bersama tiga rakannya, Mohd Razi, Amir Abdul Mutalib, 21, dan Mohd Azwan Abd Kadir, 21, di Simpang Ampat.

Akibat kemalangan itu, mangsa kini dilaporkan koma dan kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Razi berkata, dia yang tinggal sekampung dengan mangsa menghantar seorang rakan yang tinggal di Rumah Awam Paya Datuk sementara mangsa yang menunggang Yamaha Lagenda menyusul di belakang.

“Selepas hantar rakan, saya menyusuri jalan dalam dan keluar di satu lorong hadapan disusuli sebuah kereta yang dipandu seorang rakan, Fazrul Azim Tahir, 21, sementara mangsa teruskan perjalanan mengikut jalan besar.

“Apabila menyedari kelibat motosikal mangsa masih tidak kelihatan, saya berhentikan motosikal di bawah lampu jalan dan menunggunya di satu selekoh kerana mahu bergerak pulang bersamanya," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian semasa melalui jalan terbabit, terdapat kira-kira 20 ekor kerbau melintas jalan dan dia mengelak daripada merempuh haiwan berkenaan dibantu Fazrul Azim yang membunyikan hon kereta.

“Beberapa minit kemudian selepas Fazrul Azim meneruskan perjalanan, saya sendirian menunggu mangsa dengan jarak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan objek jatuh atas jalan raya.

“Apabila saya patah balik, saya lihat mangsa sudah rebah atas jalan raya dan sekumpulan kerbau bertempiaran lari ke tepi jalan,” katanya.

Panik dengan keadaan itu katanya, dia segera menghubungi bantuan kecemasan dan tidak lama kemudian, ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di lokasi kejadian.

"Mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Adi yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Ayer Keroh mengambil cuti pada hari berkenaan dan merancang keluar bersama sebelum memulakan tugas semula pada pagi ini (semalam)," katanya.

Menurutnya, dia keluar dengan rakannya itu seawal jam 9 malam untuk ke Tampin bersama beberapa rakan lain sebelum berhenti makan di Simpang Ampat kira-kira jam 12.30 tengah malam dan bergerak pulang kira-kira jam 1.15 pagi.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Mohd Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 1.46 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama tiga anggota lain.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami lihat mangsa terbaring atas jalan dalam keadaan  separuh sedar dan menggelupur, berlaku pendarahan di kepala dan tangan kanannya patah.

“Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Alor Gajah sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun dia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami pendarahan tanpa henti di kepala,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/koma-rempuh-kerbau-melintas-1.80120


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my