loading...
Monday, August 27, 2012
2 Maut Penutup Op Selamat
Inalillahi wainailaihi rojiun
27 Ogos 2012
BUKIT BERUNTUNG - Penutup Op Selamat semalam merekodkan kematian seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 429.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur selepas susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kejadian jam 11.05 pagi itu dipercayai berlaku setelah mangsa, Tan Kok Wai, 39, yang menunggang motosikal bersendirian terbabas di lorong kecemasan.
“Mangsa yang beralamat di Kampung Lambak, Tanjung Malim, Perak. Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Norel berkata, sepanjang Op Selamat yang dijalankan di sekitar daerah ini sejak 12 Ogos hingga semalam, hanya dua kematian direkodkan.
Katanya, kematian pertama berlaku turut melibatkan seorang penunggang motosikal di Jalan Tanjung Malim - Sungai Besar dekat Kampung Serigala, Hulu Bernam awal Syawal lalu.
Bagaimanapun, katanya rekod itu menunjukkan penurunan selain faktor kesedaran pengguna jalan raya terhadap amalan pemanduan berhemah yang semakin meningkat.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, selang lima jam kemudian satu lagi kemalangan maut berlaku hanya 1 kilometer (km) dari lokasi kemalangan pertama yang turut melibatkan penunggang motosikal.
Norel berkata, kemalangan kedua itu berlaku jam 4 petang semalam di Kilometer 430.9 arah Kuala Lumpur.
“Kemalangan melibatkan seorang penunggang remaja perempuan dikenali Nur Sabrina Sulaiman berumur 21 tahun.
"Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai datang daripada Alor Setar, Kedah menuju Kuala Lumpur dan terbabit kemalangan itu setelah motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas di lorong kecemasan,” katanya.
Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka dan kepala.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat. Beliau berkata, kedua-dua kejadian disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/dua-maut-nahas-di-lebuh-raya-1.79315
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment