Inalillahi wainailaihi rojiun
KUANTAN 22 Julai - Seorang pelajar perempuan tingkatan dua maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 33 Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Ular di sini semalam.
Dalam nahas pukul 1 petang itu, mangsa, Wan Nur Amanina Wan Ramzi, 14, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di badan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal sendirian dan dalam perjalanan dari rumahnya di Kuarters Stesen Penyelidikan Mardi Sungai Baging di sini, ke sebuah kedai runcit berhampiran untuk fotostat kerja sekolahnya.
"Sampai di tempat kejadian, dipercayai 4WD jenis Kia Sorento yang datang dari arah Kuantan ke Cherating itu telah memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan mangsa.
"Akibatnya, mangsa tercampak daripada motosikalnya dan terjatuh atas jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian petang semalam.
Tambahnya, polis juga sudah mengambil keterangan daripada pemandu 4WD tersebut, seorang lelaki berusia 24 tahun yang tinggal di Bukit Pelindung di sini, bagi membantu siasatan di bawah di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Al-Fatihah
Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_03.htm
No comments:
Post a Comment